DEMI AKHBAR BEBAS,MANGSA KDN TERBIAR
Oleh Fathi Aris Omar
Dia cemas, untuk sekian kalinya. Sehari selepas anak sulungnya dilahirkan,
ketika isteri tersayang masih tidak bermaya di katil hospital, anak muda ini
harus berdiri di kandang orang salah. Dan bakal menerima hukuman berat. Dia
tiada dosa kecuali menjual akhbar tanpa permit Haraki. Dia berdosa kepada
Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kes Zabidi Morad, 27, tidak dilaporkan dalam sebarang media, termasuk media
alternatif atau pembangkang di negara ini. Jauh sekali namanya tercatat
dalam rekod penindasan antarabangsa terhadap wartawan, seperti halnya nama
Ahmad Lutfi Othman atau Zulkifli Sulong.
Tetapi Zabidi, dan mereka yang sekerdilnya, memikul risiko besar. Dia adalah
unsung hero. Sejarah lazimnya melupakan individu sepertinya. Datang daripada
keluarga yang mempunyai tradisi penulisan dan penerbitan, Zabidi bersama
adik-beradiknya terjun ke dalam dunia pengedaran bahan-bahan bacaan politik
kira-kira empat tahun lalu.
Sehari selepas keputusan pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit, Zabidi
melangkah ke mahkamah magistret Kuala Lumpur berseorangan, tiada penyokong
meriuhkan isi perjuangannya walau beliau pernah juga mengendalikan laman web
'media bebas' Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).
Pakciknya sendiri, Ahmad Lutfi, masih berada di kawasan pilihanraya itu.
Aktivis-aktivis Kami sendiri tidak tahu. Tidak ada wartawan dari sebarang
akhbar, berada di mahkamah. Selepas kes itu, tiada media melaporkannya.
Tabloid politik bebas
Di tengah-tengah ghairah perjuangan menuntut kebebasan akhbar, mangsa KDN
ini terbiar. Dua lagi kes pengedar didakwa menjual atau memiliki bahan-bahan
penerbitan tanpa lesen, di Shah Alam dan Parit Buntar (Perak), sedang
dibicarakan.
Kedua-dua kes ini tidak dilaporkan, malah nama penuh mereka tidak diketahui
oleh kumpulan wartawan, termasuk Kami, apatah lagi Harakah, malaysiakini
atau Suara PRM. Mereka seolah-olah tanpa wajah.
Tetapi tanpa mereka, pembaca di daerah-daerah pedalaman tidak mungkin
mengetahui kewujudan tabloid politik bebas, apatah lagi membaca isi
kandungannya. Berkat kedegilan pengedar kecil-kecilan ini, dengan bayaran
komisyen yang tidak berbaloi, mereka akhirnya diseret ke mahkamah oleh KDN.
Dunia ini tidak adil -- itulah yang sewajarnya diucapkan kepada Zabidi dan
dua lagi pengedar bernasib malang.
Zabidi wajar berasa cemas pada pagi 19 Julai lalu. Dia hanya membawa wang
tunai RM2,000. Sedang beliau didenda RM5,000 (maksimum RM20,000 atau penjara
tiga tahun). Teringat anak yang baru lahir dan janji untuk melawat isteri
petang itu, dia berpeluh di mahkamah kira-kira 2 jam sementara menunggu
kakaknya membawa baki wang.
Tekanan baru
Jika gagal, dia berfikir-fikir, tentu akan dibawa ke lokap atau penjara
Kajang. Kini kes itu menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tetapi bukan saat ini pertama kali dia cemas. Berdepan dengan KDN, polis dan
Umno sudah menjadi darah dagingnya. Walaupun begitu, setiap tekanan baru
pihak berkuasa membawa kegelisahan baru.
"Saya gementar dan panik," katanya kepada penulis semalam, mengingatkan satu
insiden di Perhimpunan Agung Umno 1997, ketika menjual buku politik Anwar
Terjerat?: Teori Konspirasi Menjatuhkan TPM Melalui Tuduhan Skandal Seks
karya Ahmad Lutfi.
Buku jualannya dirampas, sementara abangnya Rozani disoal siasat pihak
berkuasa PWTC. Atas arahan Anwar Ibrahim, pengedaran buku itu dilarang di
acara tersebut.
(Nota: Kesulitan yang dialami penulisnya dan pengedar buku ini diceritakan
pada satu bab dalam buku Komplot Bunuh Diana. Dalam analisis tentang
kematian Puteri Diana ini, Ahmad Lutfi mendedahkan beberapa pencetak enggan
bekerjasama kerana bimbang tekanan KDN, juga amaran kementerian itu ke atas
majalah pimpinannya, Tamadun).
Diganggu pihak berkuasa
Kemudian pada tahun yang sama, Zabidi berdepan dengan karenah imam-imam
besar di Masjid Negara pula. Buku Mufti Lawan Mahathir? dilarang dijual di
pameran buku di kaki lima masjid itu dengan alasan "tulisan itu kontroversi."
Zabidi berkeras untuk terus menjual sehinggalah pihak berkuasa itu
mengeluarkan arahan hitam putih agar buku tersebut ditarik balik. Sempat
juga buku itu dijual beberapa hari biar tempoh pameran selama seminggu.
Apabila Anwar dipecat pada September 1998, sekali lagi Zabidi diganggu pihak
berkuasa. Beberapa anggota polis merampas kaset-kaset ucapan Anwar yang
dijual di kedainya, Penerbitan Pemuda. Waktu itu, Anwar belum ditangkap,
kaset ucapan dan video road-show beliau mendapat sambutan hangat.
"Seorang daripada polis itu pernah datang membeli kaset. Saya masih ingat,
dia berpakaian biasa (sebelum operasi itu)," imbas Zabidi. Dalam rampasan
kali ini, dia memang cemas kerana diarah ke balai untuk diambil keterangan.
Tetapi selepas berunding, pasukan pihak berkuasa itu mengambil keterangan di
kedai itu sahaja.
Sebulan selepas itu, sekali lagi, kedainya di Medan Idaman, Jalan Gombak
diserbu polis. Kali ini buku Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi Politik
dirampas kononnya dengan alasan penerbit tidak menulis nama dan alamat
syarikat percetakan. Walaupun tidak diseret ke balai, dia masih bimbang
apabila pakciknya Ahmad Lutfi yang mengarang buku itu dibawa ke balai polis
Sentul selama beberapa jam.
Serbuan pihak KDN
Sementara di tengah-tengah Kuala Lumpur, beratus-ratus penunjuk perasaan
proreformasi ditangkap di celah-celah kebimbangan operasi kedua Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baru bermula 10 Oktober (apabila
Presiden JIM Saari Sungib ditahan).
Operasi pertama dimulakan dengan penahanan Anwar, Ruslan Kasim pada 20
September dan ia memakan masa lebih seminggu.
Selepas rampasan Haraki pada 9 Mei 2000, pada 10 November tahun itu, KDN
menyerbu lagi Penerbitan Pemuda dan merampas lebih 600 naskhah tabloid tidak
berkala Islah.
Naskhah itu menjadi agak hangat dan kontroversi kemudiannya apabila
setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar bangun menunjukkan
tabloid itu yang memuatkan berita utama 'Guna royalti minyak langgan
perempuan.'
"Mereka menyalahgunakan kebebasan media, menyebarkan surat layang, menyalah
guna internet. Malah kanak-kanak kecil di tadika telah disemai perasaan
benci (kepada pemimpin kerajaan)," dakwa Noh di Dewan Rakyat.
Tiada simpati
Sekali lagi, Zabidi dihadapkan ke mahkamah magistret berhubung pengedaran
tabloid tanpa permit. Bagaimanapun, pada hari yang dijadual, pihak pendakwa
KDN tidak hadir. Sementara kertas pendakwaan juga agak kabur - nama tertuduh
tidak disebut kecuali "Pengurus Penerbitan Pemuda.".
Justeru Zabidi tidak pernah menghadiri perbicaraan. Waran tangkap tidak pula
dikeluarkan oleh mahkamah. Seperti nasib Zabidi, kes itu tergantung. Ditanya
apakah isterinya, yang dikahwini pada September tahun lepas, bimbang tekanan
demi tekanan yang dialaminya, Zabidi menjelaskan dia boleh menenangkan ahli
keluarganya. Bagaimanapun, sampai bila?
"Kadang-kadang saya rasa kecewa kerana tidak mendapat sokongan serta simpati
mana-mana pihak," jelasnya jujur. "Ada waktunya pula saya cukup serik
apabila memikirkan tentang keluarga."
(Zabidi Morad telah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi ,dan dalam Mahkamah
Rayuan beliau di dapati tidak bersalah)
ARTIKEL INI DISIARKAN DIDALAM LAMAN WEB WWW.MALAYSIAKINI.COM
|