Orang-orang
Kelantan pada umumnya adalah bangga dengan perjuangan
tokoh-tokoh besar Tok Janggut dan Tok Kenali. Sehingga ini
anak-anak Kelantan di luar negeri bila ditanya mereka dari
mana, mereka kerap mengenalkan diri mereka dari 'negeri Tok
Janggut' atau 'negeri Tok Kenali' atau kedua-duanya sekali.
Walaupun
Kelantan juga pernah melahirkan cerdik pandai seperti Tengku
Hamzah dan Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan mereka pernah menjadi
pembesar yang dihormati di seluruh negara, tetapi tidak pernah
kita mendengar anak-anak Kelantan di luar negeri berkata
bahawa mereka datang dari negeri Tengku Hamzah atau Tan Sri
Nik Ahmad Kamil.
Orang-orang
Kelantan mempunyai sebab untuk berbangga dengan perjuangan Tok
Janggut dan Tok Kenali, kerana mereka berjasa menentang
kedatangan penjajah dan meletakkan asas masyarakat Islam bagi
negeri Kelantan.
Saya
berbangga jadi orang Melayu, kalau orang Melayu itu adalah
orang Melayu seperti Tok Janggut dan orang Melayu seperti Tok
Kenali.
Kedua-dua
tokoh itu bersama-sama ramai lagi tokoh lain para ulamak dari
Kelantan, telah berjaya meletakkan peta negeri Kelantan begitu
istimewa di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara. Kelantan telah
menjadi tumpuan bagi para pelajar agama untuk melanjutkan
pelajaran dalam kurun ke-19 dan separuh dari kurun ke-20 ini.
Kebanyakan
pelajar dari Semenanjung, sebahagian dari pelajar di Sumatera,
Tanah Jawa dan Kalimantan bercita-cita untuk melanjutkan
pelajaran ke Kelantan sebelum berangkat ke Makkah. Syeikh
Idris Al-Marbawi, pengarang kamus Marbawi - kamus Melayu-Arab
- yang belum ada tandingannya di Nusantara telah belajar di
Kelantan sebelum berangkat ke Mesir.
Ibu
bapa pula yang berazam untuk melihat anaknya jadi orang alim,
bercita-cita untuk menghantar anak mereka belajar ke Kelantan.
Sesudah itu barulah anak itu dihantar ke Makkah, Madinah atau
Mesir.
Asas
yang ditegakkan oleh Tok Janggut dan Tok Kenali dan lain-lain
ulama Kelantan itu banyak membantu penduduk Semenanjung kekal
menjadi orang Islam dan agama Islam terpelihara di negara ini.
Pada hal kedatangan penjajah Barat - Peringgi , Sepanyol,
Belanda dan akhirnya Inggeris - adalah untuk memburu
orang-orang Islam.
Peringgi
dan Sepanyol datang ke alam Melayu kerana mereka mendapat tahu
bahawa penduduk di rantau ini terdiri dari orang-orang Islam.
Pada sekitar kurun ke-14 itu mereka baru saja menumbangkan
kerajaan Islam di Kardoba - negara Sepanyol dan Portugal
sekarang.
Penganut
agama Eropah yang sudah mengalahkan Islam itu memburu orang
Islam di mana saja mereka dengar ada orang Islam. Atas visi
inilah Peringgi atau Benggali Putih datang ke Melaka dan
Sepanyol ke Filipina dan mereka diikuti oleh Belanda dan
Inggeris.
Tujuan
besar mereka adalah untuk menghapuskan Islam dan
menggantikannya dengan agama orang Eropah.
Rombongan
para padri Sepanyol sangat berjaya dengan tugasnya di Filipina
hingga penganut Islam menjadi rakyat minoriti di negara itu
sekarang. Ketika saya ke Filipina tahun 1970, saya sempat
menyaksikan rakyat negara itu merayakan ulang tahun ke-400
Manila ditakluki oleh penjajah Barat. Mereka gembira merayakan
ulang tahun mereka dijajah yang saya kira sepatutnya hari itu
bukanlah hari yang patut digembirai.
Pengaruh
agama Eropah itu juga berkembang dan begitu berpengaruh di
bahagian-bahagian lain di Nusantara ini. Tetapi di Malaysia,
orang Islam adalah bertuah, mereka masih kekal sebagai orang
Islam dan bangga menjadi orang Islam.
Apa
yang membantu orang Islam Malaysia boleh kekal dengan agama
mereka ialah adanya asas-asas yang diletakkan oleh para ulamak
yang membuka pondok-pondok di merata tempat khususnya di
Kelantan, Kedah, Utara Perak dan Terengganu.
Ulamak-ulamak
yang membuka pondok itu dikira kolot, ketinggalan zaman,
antikemajuan, antipembangunan dan sebagainya, tetapi mengajar
Islam kepada murid-murid mereka.
Mereka
mengajar anak-anak Melayu tentang perjalanan bulan dan
matahari hingga mereka tahu mengira bila anak bulan boleh
kelihatan, bila bulan gerhana dan bila matahari gerhana.
Orang-orang
inilah yang menjadi benteng mempertahankan orang Islam
sekalipun Peringgi, Belanda, Inggeris saling bertukar tangan
menjajahi Tanah Melayu. Berbagai-bagai cara diusahakan oleh
penjajah, tetapi orang Islam yang patuh kepada pimpinan para
Tok Guru iaitu para ulamak, menyebabkan orang Islam Tanah
Melayu tidak jadi macam orang Filipina dan bahagian-bahagian
lain di Nusantara.
Sesudah
penjajah terpaksa pergi dan mereka gagal merobohkan
pondok-pondok, Peringgi gagal menutup sekolah pondok, Belanda
tidak dapat merobohkan sekolah pondok, Inggeris dan Jepun juga
tidak berani menyentuh sekolah pondok, mereka pergi dan urusan
pentadbiran negara diserahkan kepada anak negeri tahun 1957.
Pentadbiran
anak negeri sendirilah yang memusnahkan asas yang ditegakkan
oleh Tok Janggut dan Tok Kenali tadi. Sesudah itu Kelantan
hingga hari ini tidak lagi menjadi tumpun para pelajar Islam.
Kelantan
sudah tidak bermain kepala ibu bapa bila mereka mahu
menjadikan anak-anak mereka orang alim. Tok Janggut masih
dikenang dan Tok Kenali masih dikenang dan ada orang yang
mengkaji sejarah mereka. Tetapi bukan mustahil orang mengenal
mereka nanti sama dengan orang mengenal pencipta dikir barat.
Memuja dan membanggakan Tok Janggut dan Tok Kenali adalah baik.
Tetapi tanda menyanjungi mereka tidak memadai sekadar
mengatakan 'aku datang dari negeri Tok Janggut' atau 'aku
datang dari negeri Tok Kenali'.
Sanjungan
yang paling bererti ialah dengan menyambung perjuangan
mereka.Orang-orang Kelantan saja yang boleh menyambung
perjuangan mereka. Kalau orang Kelantan mahu Kelantan menjadi
tumpuan para pelajar Islam semula.
Masih
ada di tengah-tengah Kelantan para ulamak yang boleh bergerak
untuk menyambung asas yang diletakkan oleh Tok Kenali dulu.
Dan asas itu sendiri agak kukuh dan orang Kelantan memang
boleh buat. Kebetulan sekarang di tengah-tengah Kelantan ini
dilahirkan seorang tokoh yang terkenal iaitu Nik Abdul Aziz
bin Nik Mat, anggota Parlimen dari Pengkalan Chepa.
Beliau
adalah Tuan Guru yang mendapat perhatian dan beliau sudah pun
ditonjolkan sebagai pemimpin. Beliau tidak berhajat untuk
menjadi pemimpin, tetapi bakat pimpinan yang ada padanya
menyebabkan masyarakat Islam Kelantan mahukan pimpinannya.
Nik
Aziz mungkin tak sehebat Tok Janggut dan Tok Kenali. Tetapi
masa ini beliau mempunyai kedudukan yang boleh menggantikan
Tok Janggut dan Tok Kenali bagi memimpin Kelantan kembali
kepada peta lamanya di tanahair kita ini.
Dengan
bantuan lain-lain ulamak di Kelantan dan di luar Kelantan,
dengan sokongan rakyat Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh
menyambung perjuangan Tok Kenali bagi meletakkan asas yang
kukuh bagi masyarakat Islam di negara ini.
Orang
mungkin melihat kelemahannya, tetapi beliau adalah orang yang
belum diberi peluang. Kini peluang mulai diberi dan dengan
bantuan dan dengan pengalaman yang mulai diperolehi,
masyarakat Islam Kelantan boleh kembali kuat di bawah pimpinan
Nik Aziz.
Nik
Aziz kini muncul di tengah-tengah masyarakat mulai
berkehendakkan kepimpinan ulamak. Nik Aziz tidak pernah
mengaku dia ulamak dan dia pun tidak pernah meminta dia
dipilih menjadi ketua. Tetapi kerana dia adalah ulamak, tanpa
dia memberitahu dia ulamak pun, orang tahu dia ulamak dan
orang mahu dia memimpin.
Ada
tanda-tanda bahawa zaman gemilang bagi Kelantan akan berulang
semula. Zaman gemilang itu tidak bererti siang malam di pasang
elektrik. Zaman gemilang ialah zaman ia menjadi perhatian
semua bagi orang-orang untuk berlindung dan mendapatkan
khidmatnya.
Ciri-ciri
yang ada pada Nik Aziz, boleh menepati pimpinan yang dimulakan
oleh Tok Janggut atau Tok Kenali. Dan bukan pula suatu yang
mustahil selepas ini orang-orang Kelantan luat negeri
mengenalkan dirinya sebagai 'orang negeri Nik Aziz'.
Kalau
orang dulu boleh mengaku mereka datang dari 'negeri Tok Kenali'
maka tentulah mereka boleh menyambung tradisi itu dengan
mengaku mereka orang 'negeri Nik Aziz' .
Kerana
orang Kelantan tak pernah mengaku datang dari 'negeri Tengku
Hamzah' atau 'negeri Nik Ahmad Kamil', maka adalah janggal
bagi mereka untuk menyebut 'kami datang dari negeri Tengku
Razaleigh'. Tetapi tidak janggal menyebut 'negeri Nik Aziz'.
(Sentuhan pena Hj Subky Latiff cukup memukau.
Bidasannya tajam dan menyengat. Tulisannya dinanti saban
minggu. Suatu yang menarik dalam penulisan politik popular
Subky adalah jangkaannya yang mengena. Tulisan di bawah ini
dihasilkan pada September 1983, namun ia cukup relevan untuk
direnung semula dalam konteks kini)