tag. -->



 

 
   
 
 

Mengapa PAS dekati Mawi ?

Oleh Zulhazmi NS

Seluruh media kelihatannya begitu berminat memperkatakan tentang seorang anak muda bergelar Mawi yang baru-baru ini dinobatkan juara di dalam AF anjuran Astro. Saya tidak berbangga dengan kemenangan Mawi di dalam AF 3 baru-baru ini. Tetapi saya memang akui akan kelebihan dan kebolehan yang ada pada anak peneroka ni. Saya lebih berminat untuk mengetahui latar belakang keagamaan yang ada pada Mawi.

Apabila PAS bercadang untuk menjemput Mawi bagi mengadakan Konsert Alternatif di Kelantan, saya amat bersetuju dan berbangga sekali. Saya berbangga bukan kerana PAS berjaya mendekati pemuda `glamour' ini, tetapi saya berbangga kerana PAS kini semakin ingin mendekat insan-insan seni. Ini adalah merupakan amalan mulia yang patut PAS teruskan, bukan sahaja kepada Mawi, bahkan kepada semua insan-insan seni yang lain. Apakah objektif PAS ?

Parti PAS bukan sahaja parti yang berjuang dalam arena politik, tetapi PAS juga adalah satu badan dakwah yang tidak boleh memisahkannya dari politik. Tugas PAS adalah dakwah, di antara lain memimpin umat ke arah yang betul. Jika Mawi dianggap seorang pemuda yang mempunyai ilmu keagamaan tetapi dilihat sebagai idola remaja yang hampir-hampir hanyut dipengaruhi oleh gulungan yang ingin mempergunakan beliau untuk kepentingan keduniaan semata-mata, maka memang wajar PAS membelanya dan menyelamatkan beliau dari terus hanyut.

Objektif PAS pada saya tidak lain adalah untuk menyelamatkan Mawi dari terus dipengaruhi oleh golongan-golongan yang memang sentiasa ingin menyesatkan umat. Jika Mawi mempunyai kebolehan seni suaranya, PAS memang wajar memberi peluang kepada Mawi mengenal apakah seni suara yang diharuskan di dalam Islam. Di samping itu, PAS sudah tentunya mahukan Mawi menggunakan pengaruh yang ada padanya untuk memperkenalkan seni Islam kepada peminat-peminat beliau. Jika tidak PAS, siapakah lain yang boleh menunjukkan kepada Mawi cara dan kaedah yang betul di dalam seni hiburan mengikut Islam? Nak harapkan UMNO?

Oleh itu, bakat yang ada pada Mawi jangan dipersia-siakan. Bakat itu anugerah Allah dan PAS hanya perlu membimbing Mawi agar menggunakan bakat yang ada untuk kebaikan agama. Kepada mereka-mereka yang tersalah faham akan tujuan PAS, sila berfikir dengan matang berpandukan agama. PAS memang tidak menyanjung dan menghalalkan cara AF anjuran Astro itu, cuma PAS melihat Mawi memang berbakat dan bakat yang ada padanya mestilah dijaga untuk kebaikan Mawi bukan untuk dihancurkan. Cuma, Mawi sahaja yang boleh menentukan ke arah mana jalan yang patut beliau pilih dan bagaimanakah caranya untuk beliau menunjukkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas anugerah seni yang ada pada beliau.

Kita berharap agar Mawi akan diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT, dan semoga PAS lebih berusaha lagi mendekati golongan-golongan seni yang lain untuk menyelamatkan mereka. Jika kita terus berdiam, semakin ramai pemuda-pemudi akan hanyut dibuai keduniaan semata-mata. Semoga Mawi terus diminati di dunia dan diberkati di akhirat, InsyaAllah.

ZULHAZMI NS