tag. -->



 

 
   
 
 

Kedah Subur Di Kedah Tapi.......

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kubang Pasu sememangnya sentiasa dekat di hati saya, bukan semata-mata kerana saya dilahir dan dibesarkan di sini, mengenali keramahan dan kemesraan penduduknya, terutama di sekitar Kampung Raja, Tunjang, namun ia juga mempunyai kedudukan istimewa dalam politik negara.

 Apabila PAS mula membuat kejutan di Kedah pada 1969, sebahagian kawasan ini menyaksikan calon Umno terkedu kerana tidak menyangka boleh kalah di Kubang Pasu. Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya mencipta nama di sini, selepas PAS bergabung di bawah BN.

Bekas pemimpin hebat pelajar di era 70-an, Ustaz Halim Arshat meneruskan pertembungannya dengan Dr Mahathir di Kubang Pasu dalam pilihanraya 1978, selepas bertarung di kampus UKM, antara lain sebagai protes terbuka menentang tokoh yang mengkhianati perjuangan mahasiswa.

Kubang Pasu juga menjadi gelanggang terbuka Almarhum Pak Yusuf Rawa berdepan Mahathir,  satu percubaan berani untuk mengulangi kegemilangan 1969. Meskipun semua usaha merebut kembali Kubang Pasu gagal, namun tekad dan keazaman membara itu cukup membanggakan.

  Sebenarnya PAS mempunyai tapak cukup subur di Kedah, dibuktikan dengan kejayaan awal 1969, sehingga mampu menumbangkan tokoh hebat Umno, seperti Dr Mahathir sendiri, bekas menteri, Tan Sri Senu Abdul Rahman dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tun Zahir Ismail.

  Malah dalam pilihanraya 1978, pilihanraya pertama selepas keluar BN, prestasi PAS di Kedah cukup membanggakan. Bayangkan ketika itu Kelantan dikuasai BN, di Terengganu kita kecundang teruk, namun di Jelapang Padi ini PAS tetap gagah berdiri.

  Bagi saya, kemerosotan PAS bermula selepas Mahathir dilantik Perdana Menteri. Hinggakan ketika persefahaman politik dibentuk dengan Semangat 46, dan seluruh negara gegar dengan penguasaan semula Kelantan secara total oleh Angkatan pada 1990, tiba-tiba di Kedah, undi PAS-S46 boleh merosot pula!

  Penyingkiran Anwar Ibrahim membawa sinar buat PAS. Mahathir sendiri tidak terduga bagaimana 12 kerusi DUN dan lapan Parlimen menjadi milik PAS. Menteri Besar, Sanusi Junid terpaksa melepaskan jawatan. Bayangkan, selain kerusi Parlimen majoriti besar Melayu di Kubang Pasu dan Langkawi, Umno hanya mampu bertahan di Sungai Petani, Merbok dan Kulim Bandar Baharu, iaitu kerusi Parlimen yang pengundi bukan Melayunya agak ketara.

 Saya yakin, jika komposisi penduduk Kedah seperti Kelantan dan Terengganu, dimana lebih 95 peratus Melayu, Kedah sudah lama berada dalam genggaman PAS. Lihat saja pada 1999, PAS menguasai lapan kerusi Parlimen, sedangkan Umno hanya lima. Apa pun, kita berdepan realiti politik berbeza. Kita harus berdepan dengan kerencaman dan kepelbagaian, yang menuntut kesungguhan dan kreativiti lebih tinggi.

  Ramai yang masih murung, sedih dan berduka dengan tragedi Mac 2004. Banyak alasan boleh dicari mengapa PAS dikecewakan, khususnya untuk menuding jari kepada komplot jahat musuh. Tapi, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana. Nostalgia lama memang mengasyikkan, namun ia tidak mampu mengubat luka dan pedih yang berpanjangan ini.

  Saya sendiri tiada formula ajaib seumpama lampu aladin untuk mengatasi kebekuan ini selain yakin potensi besar dalam setiap individu belum dimanfaatkan sepenuhnya. Anda sendiri bertanggungjawab untuk memajukan jamaah ini. Jika masing-masing terus "melengung panjang", asyik mencari kelemahan pihak lain, PAS akan diratah dan mungkin tidak bangun lagi