tag. -->



 

 
   
 
 

Taktik Musuh Menjajah Negara Islam

Oleh Ustaz Iskandar Zulkarnain 

)

Amerika, negara yang menjadi ketua pakatan mustakbirin seluruh dunia sekarang ini mempunyai taktik baru untuk menjajah negara–negara Islam di seluruh dunia. Dengan menggunakan isu perjuangan hak asasi manusia dan demokrasi, mereka cuba memburukkan imej dan nama baik negara–negara Islam.

Gerakan Hamas yang memperjuangkan Islam di Palestin dilabel sebagai pengganas kerana menggunakan senjata dalam perjuangan mereka sedangkan Yahudi Zionis yang mereka perangi buka sahaja menggunakan berbagai jenis senjata yang jauh lebih maju, tetapi juga membunuh beratus–ratus orang awam, termasuk orang tua, wanita dan kanak–kanak yang tidak berdosa. Tuduhan yang sama juga dilemparkan kepada Hizbullah yang memperjuangkan kemerdekaan rakyat Lubnan.

Beberapa bulan lalu, tentera Syria yang banyak menyokong Hizbullah dipaksa keluar dari Lubnan. Syria dituduh menjajah Lubnan dengan kehadiran tenteranya di Lubnan sedangkan sebenarnya tentera Syria banyak membantu mengekalkan keamanan di Lubnan. Tuduhan Amerika bahawa Syria mendalangi pembunuhan pemimpin Lubnan pada masa itu, Rafiq Hariri juga sangat tidak masuk akal, kerana pembunuhan itu nyata sekali menguntungkan Yahudi Zionis, kerana keadaan tidak aman di Lubnan menguntungkan negara Yahudi Israel kerana disebabkan pembunuhan itu, pelindung Lubnan, yakni tentera Syria dipaksa berundur.

Selepas tentera Syria berundur, Amerika dapat mencaturkan politik Lubnan. Percaturan itu tentulah menguntungkan negara Zionis kerana Lubnan menjadi semakin lemah. Tetapi disebabkan sokongan kuat rakyat marhaen untuk Hizbullah, perancangan itu tidak berjaya menghapuskan atau mengurangkan pengaruh Hizbullah. Tanpa tentera Syria juga, perisik dan agen–agen Israel dapat bergerak lebih bebas di Lubnan.

Di Iraq pula, Amerika cuba sedaya upaya mengatur politiknya supaya perlembagaannya menjamin negara yang sekular. Tetapi usaha Amerika ini mendapat tentangan apabila ramai pihak yang menjadi wakil kepada rakyat Iraq mahukan perlembagaan menjamin kedudukan Islam dalam perlembagaan Iraq. Nampak jelas sekali serangan ke atas Iraq memang bermatlamat melemahkan negara itu, kerana tidak mahu negara yang majoritinya umat Islam menjadi berpengaruh, apatah lagi Iraq juga negara yang kaya dengan minyak, bahan yang sangat diperlukan oleh dunia Barat.

Iran terus dijadikan sasaran, walaupun negara itu tidak pernah memprovokasi mana–mana pihak, dan tidak pernah terbukti menyokong keganasan. Amerika juga cuba menjadikan isu pemerintahan Islam Iran sebagai sesuatu yang menyalahi demokrasi, dan menyokong puak yang menentang pemerintah Iran. Apa sahaja isu digunakan untuk menyerang Iran, yang terbarunya ialah nuklear.

Jika Amerika berjaya menyerang dan melemahkan Iran, negara Yahudi itu juga yang akan beruntung, kerana satu–satunya negara yang berkemampuan menggugatnya dari segi ketenteraan itu tidak akan berupaya lagi. Lebih beruntung bagi Amerika dan Zionis, pemerintah baru Iran diletakkan mereka yang tunduk kepada Amerika seperti Syah Reza dahulu, yan bersengkokol dengan Amerika dan Britain.

Amerika berselindung di sebalik istilah hak asasi dan demokrasi dan berbagai lagi istilah baru yang diperkenalkan. Matlamatnya hanya satu, melemahkan negara–negara Islam. Semakin berpotensi sesebuah negara Islam itu untuk mengancam kuasa Amerika dan sekutunya Israel, semakin kuat usaha Amerika menggugat negara islam itu.

habis