tag. -->



 

 
   
 
 

AMANAT YANG DIPERTUA

 PAS KAWASAN KUBANG PASU

(DR ABDUL ISA ISMAIL )

 

Hambatan Prima Dalam PAS Kubang Pasu (Bahagian 1)

Bismillahirrahmanirrahim;assalaamu’alaikum wbh. 

Ahli-ahli PAS yang dikasihi dan para pembaca yang budiman semoga sentiasa, dalam ri'ayah dan inayah Allah subhanahuwata'allah. Selawat dan salam kita panjangkan buat jujungan besar nabi saw yang telah mengeluarkan kita dengan izin Allah dari kegelapan jahiliah ke sinaran cahaya iman dan seterusnya buat keluarga dan para sahabat baginda sekelian. 

Dalam keluaran kali ini dan beberapa keluaran yang akan datang insyaallah, kita akan membincangkan tentang hambatan prima atau halangan utama yang mendepani PAS Kubang Pasu dalam perjuangan mendaulatkan Islam di bumi tercinta ini. Kita pilih maudhu' ini daripada lain-lain yang tidak kurang penting kerana ingin menyedar, menyedia dan mengajak ahli-ahli supaya menilai serta menetapkan semula keutamaan masing-masing dengan betul agar sederap dengan saf kepimpinan dalam mengatur langkah mencari serta menuju keredhaan Allah.

 Pasca pilihan raya umum 2004 merupakan tempoh yang sangat mencabar kedewasaan, kesabaran dan kebijaksanaan jamaah PAS Kubang Pasu kerana belum pernah kita menghadapi sindrom kelesuan yang begitu liat seperti yang sedang melanda ahli-ahli dan penyokong kita sekarang. Begitu besar musibah yang berlaku ini sehingga kita merasakan seolah-olah pengalaman puluhan tahun dalam tarbiah dan siasah yang telah dilalui masih belum cukup memperkasa dan mematangkan kita. 

Kadang-kadang terasa seperti kita sudah hilang kesabaran dalam menghadapi ujian Allah padahal kita sama- sama, tahu bahawa yang bulat tak pernah datang bergolek dan yang pipih tak pernah datang melayang. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214 'Apakah kamu fikir kamu akan masuk syurga sebelum kamu mengalami cubaan seperti yang pernah dialami orang-orang terdahulu daripada kamu ... .... ?' dengan jelas menegaskan perkara ini.

Bahkan seringkali turut terlintas difikiran bahawa kita tidak bijak dalam berpolitik secara Islami kerana terlalu mudah membenarkan hal-hal yang bersifat permainan dunia memesongkan kita daripada landasan perjuangan yang hakiki sehingga kita hilang istiqomah. Sesungguhnya terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan dan kita tidak punya masa, untuk meratapi perkara yang lepas atau bermain sandiwara sambil beranggan - anggan menguasai situasi sedangkan dunia sekeliling sudah dan terus berubah dengan pantas meninggalkan kita. Alangkah benarnya ikrar Allah 'demi masa sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan heramal soleh; dan yang berpesan-pesan tentang kebenaran dan yang berpesan-pesan tentang kesabaran'(Al-'Asr). 

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekelian marilah kita bangun serta berazam untuk sama-sama, bergelumang dengan jamaah dalam senang dan dalam kesusahan sementara nyawa masih dikandung badan. 

Janganlah terlalu memanjakan diri kita sehingga membenarkan perkara-perkara yang remeh atau peribadi mengganggu - gugat amanah serta perjuangan yang telah ditakdirkan ke atas kita. Mudah-mudahan usaha, kita yang sekelumit ini berbanding nikmat Allah yang telah kita 'karau' selama ini tidak sia-sia. Selamat memperbaharui tekad dan beduang dengan ikhlas sehingga kita dipanggil ke pangkuan Allah subhanahuwata'allah dengan kemenangan insyaallah. Wassalaam.