Make your own free website on Tripod.com



 

 
   
 
 

Susahnya nak laksana idea baru - Nik Aziz

 

MENTERI BESAR KELANTAN, TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ NIK MAT memberitahu sejak PAS mentadbir Kelantan 15 tahun lalu banyak perubahan besar dilakukan termasuk memperkenalkan pajak gadai Islam yang kini diikuti banyak pihak di seluruh negara.

“Begitu juga arahan supaya hotel-hotel tidak menjual minuman keras dan melarang menganjur program tarian. Dan peraturan itu sekarang juga sudah diikuti di tempat-tempat lain.

“Biar pun ia sudah diterima sekarang, namun kesukaran dirasakan di peringkat awalnya. Ini jelas menggambarkan memerintah sebuah negeri lebih sukar apabila merencanakan idea baru supaya diterima ramai.

"Ia jauh lebih sukar berbanding dengan mentadbir sebuah masjid atau madrasah,” ujar Mursyidul Am PAS itu ketika merasmikan konsert alternatif di Padang Perdana baru-baru ini.

Beliau turut mengakui berhadapan dengan kesukaran ketika mencetus idea baru menganjurkan konsert ‘Tautan Kasih’ yang membabitkan artis popular tanah air seperti diadakan malam tadi.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa puas hati kerana konsert tersebut berjalan lancar biar pun pada awalnya ada pihak yang tidak berpuas hati.

Malah pada majlis yang sama beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya akan menganjurkan pertandingan mencipta pantun bagi ibu mendodoi anak dan isteri mendodoi suami.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, biar pun orang ramai datang untuk berhibur, namun mereka tidak dilupakan daripada mengingatkan Allah yang bermula dengan solat berjemaah.

“Dalam tengah-tengah berhibur pun kita mengingatkan suasana ini seolah-olah seperti Padang Mahsyar di akhirat kelak, kerana manusia dihimpunkan di satu tempat selepas dibangkitkan semula seperti yang berlaku malam ini.

“Biar pun berhibur kita tidak lupa kepada seruan agama. Sebab itulah sejak 1998 lagi kerajaan negeri mengubal enakmen khas bagi persembahan hiburan supaya selaras dengan tuntutan syariat,” katanya.

Hadir sama, Speaker DUN Kelantan, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, pegawai kanan kerajaan negeri, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.

Dianggarkan kira-kira 100,000 penduduk tempatan dan luar Kelantan mengikuti konsert tersebut. Selain itu terdapat 25 lokasi lagi di seluruh negara dipasang skrin besar bagi membolehkan orang ramai mengikuti konsert itu yang dipancarkan melalui web tv, antaranya di Senggarang, Kulai, Taman Melewar, Sungai Petani dan Alor Setar.

Manakala rakyat Malaysia yang berada di luar negara termasuk Glasgow, Morocco, Kaherah dan Japan juga mengikutinya melalui web tv internet.

Pengerusi konsert tersebut, Haji Husam Musa berkata, persembahan hiburan yang diadakan tersebut bertujuan menarik remaja berhibur mengikut acuan Islam.

Katanya, kasih yang menjadi tema dimaksudkan sebagai kasih kepada Allah, kasih kepada Rasul, kasih kepada keluarga, kasih kepada kedua ibu bapa.

“Artis yang kita undang khas ini, Mawi mampu memberi contoh terbaik kerana beliau mempamerkan sifat kasih kepada kedua ibu bapa yang boleh menjadi contoh terbaik kepada remaja lain,” katanya