Make your own free website on Tripod.com

 
   
 
 

Keranda Politik Isa Samad

Oleh Aman Rais

 Keputusan muktamad terhadap kes Tan Sri Mohd Isa Samad sudah tidak menjadi berita lagi. Kini pemerhati politik membicarakan bila beliau akan melepaskan jawatannya dalam kabinet. Spekulasi rombakan kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menjadi topik utama.

Menteri Wilayah Persekutuan itu sudah dianggap menjadi sejarah, ekoran keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak rayuannya. Hukuman gantung keahlian yang dikurangkan daripada enam tahun kepada tiga tahun, dianggap sebagai paku terakhir bagi keranda politik beliau.

Benarkah itu nasib Mohd Isa? Akan hanyut sendiriankah beliau dan lenyap dari hiraki Umno selama-lamanya? Mungkin ramai ahli Umno merasakan demikian, tetapi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu nampaknya berfikiran sebaliknya.

Daripada komennya, sebaik sahaja keputusan diumumkan oleh MT, Mohd Isa nampaknya masih optimis. Beliau tidak menganggap kembaranya dalam Umno sudah sampai ke penghujungnya.
Mohd Isa menegaskan akan terus berkhidmat untuk rakyat dan berjuang untuk Umno dari luar lingkaran parti sepanjang tiga tahun ini.

Walaupun pahit untuk menelan hakikat masa depan politiknya sudah tidak secerah dulu, Mohd Isa masih berharap untuk kembali aktif selepas tamat tempoh penggantungannya.

“ Soal come back tidak timbul, saya tidak meninggalkan parti. Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat.....” tegasnya.

Lumrah Umno

Mohd Isa memang boleh berasa optimis walaupun telah dikenakan tindakan disiplin kerana politik wang. Sebagai orang lama dalam politik, beliau tahu lumrah Umno. Parti itu tidak pernah membuang pemimpin dan bekas pemimpinnya selama-lamanya.

Sejarah menunjukkan ramai pemimpin yang senasib dengan Mohd Isa berjaya membuat “come back” dalam parti itu. Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja digantung, malah dipecat daripada parti tetapi akhirnya diterima kembali menyertai Umno. Beliau akhirnya melonjak menjadi Presiden parti dan Perdana Menteri.

Bekas-bekas tokoh Team B yang diketua oleh Tengku Razaleigh Hamzah juga meninggalkan Umno, menubuhkan parti baru tetapi akhirnya diterima balik menyertai parti Melayu terbesar itu. Kini ramai bekas tokoh Team B menjadi peneraju utama parti, malah dilantik sebagai menteri kabinet.

Tokoh-tokoh seperti Datuk Azim Zabidi dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman pernah digantung masing-masing dua dan enam tahun. Tetapi mereka berjaya membuat “come back” yang ketara.
Begitu juga dengan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang pernah ‘direhatkan’ akibat dakwaan skandal seks. Tidak ketinggalan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Kini kedua-dua mereka berada dalam saf utama kepimpinan Umno.

Politik wang

Berdasarkan rekod-rekod itu, masih ada cahaya di hujung terowong politik Mohd Isa. Perlu diingatkan, Mohd Isa bukan ditolak oleh perwakilan atau akar umbi Umno. Dia hanya dijadikan “kambing-hitam” oleh MT untuk membersihkan parti daripada gejala politik wang.

Ini bererti, para penyokong dan kawan-kawannya dalam parti masih ramai. Oleh itu, Mohd Isa masih boleh mengharapkan sokongan dan simpati mereka untuk kembali memanjat hirarki kepimpinan Umno selepas tahun 2008.

Penjelasan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang mengapa hukuman Mohd Isa dikurangkan, juga menunjukkan Naib Presiden Umno itu belum “disembelih” sehabis-habisnya.

Umno masih menghargai jasa dan khidmatnya dalam parti dan kerajaan selama lebih 25 tahun itu. Tindak-tanduk beliau yang tidak menyusahkan parti sejak dihukum pada Jun lalu turut diamblikira.

Sebenarnya, laluan untuk Mohd Isa kembali aktif dan memimpin Umno masih terbentang luas. Lebih-lebih lagi kalau benar dakwaan yang mengatakan beliau adalah orang kuat Najib. Dalam Umno hubungan dengan pemimpin memainkan peranan penting dalam turun naik seseorang ahli parti.

Dr Mahathir dapat memanjat tangga kepimpinan Umno kerana adanya restu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri ketika itu. Rahim Thamby Chik kembali ke pangkuan MT kerana Dr Mahathir memberi ruang kepadanya. Begitu juga dengan Muhd Taib yang kini menjadi Ketua Penerangan Umno. Pak Lah tidak pernah mencicirkannya daripada saf kepimpinan Umno, walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat.

Pemaaf dan kompromi

Oleh itu, andainya Najib menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri beberapa tahun lagi, mungkin Mohd Isa akan diberi peluang sebagaimana Rahim Thamby Chik, Muhd Taib dan Azim Zabidi.

Kita ketahui masyarakat Umno adalah kumpulan manusia yang pemaaf dan “mudah lupa”. Sejarah seseorang dengan politik wang atau skandal seks adalah suatu yang boleh dikompromi jika seseorang pemimpin itu terus menunjukkan kesetiaannya kepada parti atau “mentornya”.

Tidak keterlaluan jika kita katakan, politik wang yang sudah berakar umbi dalam Umno sebenarnya tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan besar. Ia hanya diwar-warkan sebagai senjata politik untuk membunuh karier politik seseorang, bukan untuk membersihkan parti.

Sebahagian besar ahli parti atau perwakilan ke perhimpunan Umno juga sudah menerima hakikat bahawa tiada manusia yang maksum. Mohd Isa juga, dalam komennya pada Jumaat lalu, secara terbuka tetapi sinis menegaskan tiada ahli dan pemimpin Umno yang maksum.

Dalam perkataan lain, beliau memberi isyarat, bukan dirinya sahaja melanggar peraturan pemilihan Umno, tetapi orang lain turut melakukannya. Cuma bezanya, Mohd Isa masuk perangkap manakala yang lain terlepas!