Make your own free website on Tripod.com

 
   
 
 

Isu AP: Siapa Sokong Rafidah ?

Oleh Lee Ban Chen

 Selepas menjadi sasaran media massa selama beberapa bulan, dikritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli-ahli parlimen, akhirnya Datuk Seri Rafidah Aziz terpaksa hadir di Dewan Rakyat.

Itupun beliau hadir selepas diarahkan oleh kabinet bagi menjawab soalan ahli Parlimen mengenai isu permit import (AP) kereta. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu hadir dengan lagak seorang ‘Wanita Besi’ yang cekal dan tahan lasak.

Selepas sesi soal jawab itu, beliau berani mengatakan hanya satu dua orang ahli Parlimen sahaja yang tidak memahami isu AP, yang lain sudah faham dan puas hati dengan apa yang dijelaskannya.

Malah, Rafidah telah menyuruh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang menggesanya supaya meletakkan jawatan menteri, ‘pergi terjun tasik’. Logiknya mudah saja: kalau Perdana Menteri hendakkan saya, saya tidak boleh kata tidak.

Rafidah juga menyifatkan segala kritikan terhadapnya sebagai satu agenda jahat yang hendak menjatuhkannya.

“Nasib diri saya ditentukan oleh Tuhan....saya tidak akan ampunkan dosa orang yang fitnah saya. Tunggulah kita mati sama-sama esok,” ujarnya.

Ketua Wanita Umno itu cuba mengsongsangkan keadaan, kononnya beliau adalah mangsa salah-faham, agenda jahat dan fitnah! Namun demikian, rasanya segala sepak terajang dan lakonan politik itu sukar untuk menutup segala yang terdedah dalam polemik kali ini, antara lain:

Pertama, kegagalan dasar AP dalam membantu lebih ramai usahawan Melayu dalam bidang pengimportan kereta dan melindungi kereta nasional. Selagi Rafidah tidak sanggup menjawab soalan-soalan Dr Mahathir, selama itulah isu AP tidak boleh dianggap telah selesai. Antara soalan itu termasuk:

– Jumlah sebenar AP yang telah dikeluarkan dan kenapa hanya beberapa orang saja diberi AP yang banyak sedangkan ramai yang memohon?

– Kenapa kereta yang diimport, diisytiharkan dengan harga yang lebih rendah daripada sewajarnya? Walaupun ia tanggungjawab Kastam, MITI sewajarnya mempunyai kata putus mengenai harga import kereta terbabit.

– Kenapa Rafidah dan MITI memberi status kereta nasional kepada Naza Ria keluaran Naza Group?

Rafidah telah berulangkali menjawab soalan-solan tersebut, namun masih tidak memuaskan hati banyak pihak, terutama bekas “mentornya”, Dr Mahathir. Menurut menteri itu, sejak dasar AP diperkenalkan, 37 syarikat bumipuera berjaya mendapat francais dan status pengimport tunggal untuk menimport 44 model kenderaan.

Malah ada di antara mereka telah berjaya mengambil alih pengimportan jenama-jenama kenderaan yang dahulunya sekian lama dimonopoli oleh syarikat-syarikat bukan bumiputera. Namun tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar kepentingan dasar AP telah dibolot oleh segelintir jutawan Melayu, tokoh-tokoh dan parti pemerintah.

Dasar automotif

Keadaan ini bukan saja menunjukkan kepincangan dasar AP, tetapi mungkin juga kepincangan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang diketahui umum, telah mengkayakan segelintir bumiputera.

Yang kedua, polemik ini juga mendedahkan dasar AP yang juga bertujuan melindungi kereta nasional, telah menyebabkan industri automotif negara tidak berdaya saing dalam pasaran kereta serantau dan antarabangsa, baik dari segi kuantiti, kualiti dan harga.

Keadaan ini dapat dilihat pada prospek malap yang dihadapi oleh kereta nasional dan rombakan lembaga pengarahnya baru-baru ini. Rombakan pengurusan Proton menandakan kesusutan pengaruh Dr Mahathir sebagai penasihat syarikat itu.

Seterusnya, pertarungan Rafidah-Mahathir mungkin membayangkan perbezaan pendapat mengenai Dasar Automotif Negara antara Abdullah dengan Dr Mahathir. Kelambatan dalam mengumumkan Dasar Automotif Negara mungkin menunjukkan pihak terbabit masih belum mencapai persepakatan dalam perkara yang kontroversi ini.

Yang ketiga, keangkuhan Rafidah dalam menangani isu AP, mendedahkan kelemahan budaya politik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sistem demokrasi yang kita amalkan sekarang.

Ponteng Parlimen

Bayangkan, seorang menteri – dalam tempoh enam tahun – hanya hadir di Parlimen sebanyak 31 hari (daripada 400 hari). Dan beliau masih berani mendakwa dirinya sebagai seorang nasionalis yang cintakan bangsa dan negara!


Seorang menteri sengaja tidak menghadiri sidang Parlimen kerana tidak mahu menghadapi sesi soal-jawab mengenai isu AP yang dibangkitkan oleh ahli-hali parlimen BN dan pembangkang, sehingga kabinet terpaksa memberi arahan supaya menteri terbabit berbuat demikian!

Lebih menarik lagi, seorang pegawai kementerian, dikatakan melampirkan senarai nama ahli Parlimen yang mendapat AP dalam tempoh tahun 2000 hingga 2005, yang tidak lengkap, tanpa diketahui menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha.

Apabila ditanya kenapa berlaku demikian, kononnya pegawai itu menjawab, dia juga tidak tahu sebabnya!

Ahli Parlimen BN pula tidak dibenarkan menyokong usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen pembangkang, sungguhpun mereka setuju dengan kandungan usul terbabit. Jika disokong, mereka akan diambil tindakan disiplin!

Tidakkah ini bermakna kepentingan parti lebih diutamakan daripada kepentingan rakyat? Nampaknya ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat bukan untuk mewakili rakyat yang memilihnya tetapi mewakili kerajaan.

Yang jelasnya, isu AP dan Rafidah ini meletakkkan Perdana Menteri dalam dilema. Beliau mewar-warkan mahu sebuah kabinet yang lebih bersih, telus dan bertanggungjawab, tetapi bagaimana tanggapan rakyat jika Rafidah masih dikekalkan?

Jika Rafidah terus dikekalkan dalam kabinet, tidakkah ini bermakna beliau mendapat sokongan penuh Perdana Menteri dalam isu AP ini.