tag. -->



 

 
   
 

 

PAS Sedang Cari Wakil Rakyau Bukan Islam.

Oleh Muda Mohd Noor

PAS sedang mencari kaedah bagi membolehkan orang bukan Islam menjadi rakan parti itu untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana yang dibuat Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu bukan wakil rakyat PAS tetapi sebagai rakan kepada PAS, sebagaimana MCA dan MIC yang menjadi rakan kepada Umno.

Peranan mereka, katanya, adalah untuk menyuarakan masalah berkaitan dengan kaum bukan Islam di negara ini.

Husam yang juga Ahli Exco Kerajaan Kelantan berkata, kaedah ini pernah dibuat oleh PAS dalam pilihanraya umum 1990 dengan kerjasama Majlis Perundingan Cina (CCC).

"Sekarang kita kena mendapatkan orang bukan Islam yang mahu menjadi rakan PAS untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di ibu negara Isnin lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan kelab penyokong PAS kaum Cina dan India yang bertujuan untuk menarik kaum berkenaan mengundi PAS dalam pilihanraya.

Husam berkata, pada mulanya PAS mahu menerima orang bukan Islam untuk menyertai parti itu tetapi setelah mengambilkira tanggapan orang ramai dan bimbang dimanipulasi pihak tertentu, maka lebih baik menubuhkan CCC.

Isu bukan Islam

"PAS sudah matang dalam hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam dan boleh menangani sebarang isu yang membabitkan mereka," katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau sudah bersedia menjadi menteri besar menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas pilihanraya umum akan datang, Husam berkata, beliau belum layak dan lebih selesa berada di belakang tabir.

Katanya, Nik Aziz akan terus mebjadi Menteri Besar Kelantan selepas pilihanraya umum akan datang kerana beliau paling layak untuk jawatan tersebut.

Nik Aziz telah menjadi Menteri Besar Kelantan sejak PAS menguasai negeri itu dalam pilihanraya umum 1990.

"Saya hanya mengikut Tok Guru (Nik Aziz). Jika beliau mahu saya bertanding kerusi Parlimen, saya akur, jika kerusi DUN, saya tiada masalah. Malah, kalau saya digantikan dengan orang lain, saya terima," katanya.

Husam berkata, tugas beliau ialah membuat persiapan bagi memastikan kemenangan PAS Kelantan dalam pilihanraya umum akan dating manakala soal calon ditentukan oleh Tok Guru (Nik Aziz).

Calon ditentukan Nik Aziz

Husam berkata, beliau akan membuat cadangan supaya Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar untuk bertanding di kerusi DUN di Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, ini sebagai menambah senarai golongan profesional yang bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Ketika ini PAS mempunyai 23 wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, manakala Barisan Nasional (BN) 22 kerusi.

Katanya, kuasa pemutus memilih calon PAS untuk bertanding di Kelantan ditentukan oleh Nik Aziz..

Sementara itu, Husam berkata, beliau tidak tahu apa yang berlaku ke atas dirinya dalam tempoh lima tahun akan datang kerana beliau tidak pernah membuat perkiraan masa depan politiknya.

"Nik Aziz boleh memutuskan masa depan politik saya," katanya.