tag. -->



 

 
   
 

 

Abdullah Berundur Selepas 20 Hari Tony Blair Bersara ?

Oleh Mohd Sayuti Omar

MENURUT suatu teori yang dibisikkan dari telinga ke telinga (secara senyap tetapi dibenar untuk diketahui umum), Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 17 Julai hadapan. Apakah tarikh itu dipilih oleh Abdullah ataupun ianya ditetapkan oleh ahli teoris yang mencipta teori berkenaan, entahlah.

Tetapi kalau Abdullah melepaskan jawatan itu pada 17 Julai hadapan, ini bermakna beliau berundur selepas 20 hari Tony Blair melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Britain.

Tony Blair telah mengumumkan akan melepaskan jawatan yang dipegang selama 10 tahun itu beberapa hari lepas. Tindakan PM itu ekoran reputasi dan kredibiliti sebagai PM Britain semakin merosot dan buruk.

Apa yang diumumkan Tony Blair itu adalah muktamad. Selalunya politik Barat seperti di England, gentleman di mana para pemainnya berpegang kepada kata-kata dan janjinya. Mereka tidak akan berganjak daripada apa yang mereka ucapkan atau pun selalu mengambil tanggungjawab di atas apa-apa peristiwa menjejaskan negara yang bersabit dengan mereka.

Tentunya juga mereka seperti Blair itu, tidak akan menangis terisak-isak apabila pada hari pengunduran itu kelak dan juga tidak ada orang yang menangis terisak-isak histeria memujuk agar Blair jangan mundur. Wajah dan warna balada politik yang pernah berlaku di Malaysia ini tidak mungkin berlaku di Britian.

Berbalik kepada teori yang dikatakan tadi, sekarang ini, tepatnya sejak dua bulan lalu teori itu sudah merebak dan menjalar ke serata tempat. Ia juga sudah mula memasuki email orang atau tokoh tertentu; kononnya Abdullah akan meletakkan jawatan pada 17 Julai hadapan. Tampaknya yakin benar ahli teoris itu terhadap teori atau formula ciptaan mereka.

Menariknya lagi teori itu lengkap turut mengariskan kronologi dan juga proses perletakkan jawatan oleh Abdullah itu. Melihat kepada teori itu dibentangkan ia semacam satu perancangan yang canggih dan kemas sekali.

Abdullah sendiri sudah pun mengetahui teori berkenaan. Teori yang beliau akan melepaskan jawatan pada 17 Julai sudah pun menerobos Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan juga kediaman rasminya. Apakah ia sudah dibincang atau tidak oleh Abdullah bersama anak menantunya, walahualam.

Bagaimana pun ketika berucap pada satu majlis, (disiarkan menerusi RTM1) Abdullah secara tidak langsung menyentuh mengenai teori berkenaan. Dengan selamba dan nada berseloroh beliau menyebut, “ada orang mengatakan saya akan melepaskan jawatan 17 Julai hadapan, dan ada juga yang kata saya jadi PM hanya sepenggal. Tengoklah nanti...” ujarnya sambil ketawa sinis.

Disebabkan Abdullah sendiri turut terpanggil untuk memberi reaksi kepada teori itu, maka adalah wajar kalau ianya dibahaskan di sini untuk mengetahui bagaimana latar belakang teori itu lahir dan apakah ianya berasas serta logik atau sebaliknya ia lelucon saja.

Walaupun teori itu tidak masuk akal namun sekurang-kurangnya pada masa ini ia menjadi bahan renungan dan analisa para pencacai politik di cafe, starbuck dan juga kedai kopi. Teori itu benar-benar mampu mengikat pendengar di bangku kedai kopi dan menyebabkan mereka sanggup menghabiskan teh atau kopi lebih daripada dua cawan.

Teori berkenaan dinamakan “Gerakan Pembersihan”, yang bermaksud Abdullah perlu melepaskan jawatan untuk membersihkan dan menyelamatkan Umno. Keperluan Gerakan itu ialah memandangkan Umno pada masa ini berada dalam keadaan parah dan membimbangkan.

Dan disebabkan Umno adalah tulang belakang kepada kerajaan BN, menyebabkan pembersihan itu turut memberi kesan kepada kerajaan BN yang memerintah hari ini.

Itulah matlamat dan maksud teori berkenaan.

Adapun tindakan untuk menekan supaya Abdullah berundur menurut teori itu bukan menerusi proses pemilihan di dalam perhimpunan agung Umno ataupun menerusi pilihan raya. Sebaliknya satu strategi (gerakan) sedang diatur bagi mengadakan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Abdullah. Dalam erti kata lain akan berlaku coup d’etat – rampas kuasa di dalam Umno dan juga Barisan Nasionol menerusi undi tidak percaya kepada Abdullah.

Mulanya undi tidak percaya akan dilakukan oleh komponen Barisan Nasional. Sebuah parti komponan BN di Sarawak dikatakan akan mengemukakan usul berkenaan. Selepas BN mengemukakan undi tidak percaya, Majlis Tertinggi (MT) Umno pula akan berbuat perkara yang sama.

Undi tidak percaya ini diharap akan menimbulkan ketegangan. Saat inilah Raja-Raja Melayu akan bermesyuarat kemudian memutuskan untuk meletakkan negara ini di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Malaysia akan diperintah secara Mageran.

Proses meMagerankan negara ini sengaja diadakan untuk membolehkan negara ini ditadbir oleh orang lain. Apabila berlaku Mageran maka pentadbiran negara ini akan terletak di tangan Yang DiPertuan Agong. Selepas itu Agong akan melantik Pengerusi Megaran dan Pengerusi pula bertanggungjawab melantik Perdana Menteri.

Dalam hal ini Mahathir akan dilantik menjadi Pengerusi Mageran menakala bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah pula akan dilantik menjadi Perdana Menteri? (Patutlah akhir-akhir ini Mahathir dan Ku Li berbaik-baik?)

Demikian latarbelakang teori bernama “Gerakan Pembersihan” dan pengisiannya. Nampaknya ia sangat mudah sekali dan seperti di dalam mimpi saja. Saya ingin serahkan kepada anda pembaca sekalian untuk menilai, mengkaji kemudian merumuskan apa teori itu masuk akal atau sebaliknya.

Cuma apa yang dapat disimpulkan, teori itu tidak lebih daripada bikinan mereka yang tidak ada kerja dan mahukan sesuatu perubahan berlaku dengan mudah untuk kepentingan mereka.

Pada saya, lagak mereka yang mengemukakan teori itu tidak ubah seperti penggila skim cepat kaya menerusi internet. Gara-gara kerana ingin cepat kaya tanpa mengira apakah skim yang mereka sertai selamat atau tidak, halal atau haram, mereka hentam saja. Walhasilnya apa jadi, semuanya ternganga dan menggigit jari. Aapakah begitu juga dengan sang ahli teoris ini!