Bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Presiden MIC, Datuk
Seri Samy Vellu mahupun pemimpin parti komponen Barisan
Nasional (BN) yang lain, walaupun berdepan dengan dakwaan
skandal, tidak boleh dipecat kerana BN akan menanggung
akibatnya.
"Awak tanyalah MIC apa yang akan mereka lakukan jika (Datuk
Seri) Samy Vellu dipecat," kata Dr Mahathir apabila ditanya
mengapa beliau tidak memecat Menteri Kerjaraya itu, yang
menghadapi pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa.
"(Ahli) MIC takut sekali dengan (Datuk Seri) Samy Vellu,"
tambah Dr Mahathir yang sebelum ini merupakan presiden Umno
dan pengerusi BN sewaktu menjadi Perdana Menteri selama 22
tahun.
"Mengenai kepimpinan parti komponen BN, saya tidak ada banyak
kuasa untuk memilih siapa yang patut jadi ketua atau memecat
mereka dari kabinet," katanya dalam temubual eksklusif dengan
malaysiakini di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di
Putrajaya.
"Anda dapat lihat bahawa semua ketua parti komponen BN ada
dalam kabinet, bukan kerana saya pilih mereka, tapi kerana
mereka dipilih oleh parti mereka," katanya.
Dr Mahathir membuat pengakuan itu selepas ditanya bertubi-tubi oleh
para editor malaysiakini mengenai kesungguhannya memerangi
rasuah.
Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa, beliau telah
melakukan apa yang termampu olehnya terhadap seorang lagi
menteri, Datuk Seri Rafidah Aziz, yang didakwa terbabit dalam
rasuah sewaktu pentadbirannya.
“Tindakan telah diambil. Mereka - Pejabat Peguam Negara -
telah menggugurkan tuduhan terhadapnya (Rafidah). Jika Peguam
Negara (AG)gugurkan tuduhan, itulah adalah keputusan AG,"
tegas Dr Mahathir.
"Tetapi hakikatnya ialah saya tidak pernah menghalang siasatan
dijalankan," tambahnya.
Dr Mahathir turut memperlihatkan ketangkasannya menangkis
kritikan terhadap pentadbirannya dengan memantulnya kepada
pengganti pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Apabila ditanya mengapa Abdullah tidak memecat Rafida, Dr
Mahathir menjawab: "Ianya satu misteri."
Mahathir mendakwa, di bawah kementerian Rafidah, "ribuan"
permit import kereta telah dikeluarkan kepada mereka yang
didakwa telah menjual permit tersebut untuk mendapat
keuntungan segera.
“Pecat menteri tersebut," katanya apabila ditanya bagaimana
penyelewengan dasar yang bertujuan membantu usahawan
bumiputera dapat ditangani.
Kenyataan pedas Dr Mahathir itu adalah yang terbaru dalam
pertelingkahannya dengan Abdullah sejak setahun lalu berhubung
dasar pentadbiran kerajaan sekarang, serta dakwaaan rasuah dan
nepotisme.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, 'suasana takut'
menyelubungi politik negara dan pemimpin kerajaan yang lemah
berbanding dengan zaman pentadbirannya dahulu.
“Masa saya dulu, jika mereka tidak mampu menyumbang, mereka
tidak akan dapat (jawatan kerajaan)," katanya.
Mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) Dr Mahathir berkata, ia
patutnya dimansuhkan secara berperingkat, tetapi atas asas
kes-kes tertentu, seperti tempat yang diperuntukkan untuk
bumiputera di universiti.
“Saya sendiri telah memutuskan supaya kuota (universiti)
dimansuhkan dan mengikut merit kerana saya rasa masanya telah
tiba dan bumiputera pula tidak menggunakannya.
"Tetapi ada perkara-perkara lain yang rasa kita masih perlu
beri pertimbangan istimewa...penarikan balik DEB sepenuhnya,
saya rasa, bukan satu idea yang baik," tambah Dr Mahathir