tag. -->



 

 
   
 

 

Pilihanraya Tidak Perlu Dipercepatkan!

Oleh Mohd Sayuti Omar

APABILA Lah (nama timbangan baru untuk Abdullah Ahmad Badawi), berkata BN bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bil masa saja, jiwa dan nurani pembangkang merasa lega. Kenyataan itu menepati apa yang dijangkakan mereka - pembangkang, bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada tahun ini.

Adapun sebab dan alasan pembangkang seperti mana yang umum mengetahuinya!

Kenyataan Lah itu membawa erti dan boleh difahamkan, bahawa pilihan raya akan diadakan pada tahun ini juga. Dan kenyataan itu melegakan pembangkang kerana mereka begitu dahagakan pilihan raya. Sejak awal tahun lagi pembangkang sudah berkokok untuk berpilihan raya, dan jangkaannya pada tahun 2007 ini.

Pembangkang memberi beberapa faktor dan sebab kenapa pilihan raya umum akan diadakan pada tahun ini. Pembahagian projek RMK-9 secara gila-gila yang rancak diadakan pada masa ini adalah merupakan tanda besar pilihan raya akan diadakan tahun ini.

Selain itu kesediaan kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan kerajaan, polis dan sebagainya juga menjadi petanda bahawa parlimen akan dibubarkan. Parti kerajaan selalunya akan memberi beberapa insentif kepada rakyat sebelum parlimen dibubarkan kerana itulah ‘umpan di air tenang’ yang paling berkesan untuk mengailkan pengundi Melayu khususnya.

Banyak lagi tanda-tanda kecil menunjukkan pilihan raya hampir dekat. Kerancakan cakap-cakap umum tentang pilihan raya juga secara tidak langsung mendesak jiwa kerajaan khasnya Lah untuk mengadakan pilihan raya cepat.

Tentunya kalau Lah bersedia untuk mengadakan pilihan raya memandangkan kepada suasana hari ini amat cocok. Kenaikan indeks Bursa Malaysia dan kedudukan pasaran saham melebihi angka 1,200 mata memberi kelebihan kepada kerajaan. Begitu juga kedudukan ringgit yang lebih teguh berbanding dolar Amerika ia juga memberi kelebihan kepada kerajaan.

Pun begitu, soal itu tidak penting dan tidak perlu bagi Lah mempercepatkan pilihan raya. Ada hambatan lain kalau Lah bersetuju hendak mengadakan pilihan raya cepat. Apa yang dimaksudkan ialah sebelum musuhnya sempat bersatu dan menyusun strategi untuk melawan dan menyerangnya.

Pembangkang yang merupakan musuh tradisi parti kerajaan, hari ini masih berada dalam keadaan tidak mantap walaupun mereka sudah ghairah untuk berpilihan raya. Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh PAS, Keadilan dan DAP masih belum mantap dan kemas. Hubungan PAS – DAP masih belum erat. Mereka masih lagi belum seiya sekata menyebabkan dalam keadaan tertentu keduanya seperti bercakaran.

Suasana PAS – DAS menyebabkan Keadilan yang menjadi orang tengah, risau dan bimbang. Ia memeningkan Keadilan untuk menyatu dan mendamaikan mereka. Suasana dan senario ini sesungguhnya memberi kelebihan kepada BN.

Justeru soal BA juga buat masa ini tidak membimbangkan Lah. BA tidak akan dapat menyaingi BN baik dari segi perpaduan, logistik dan sebagainya. Sebaliknya apa yang mungkin menakutkan Lah sedikit ialah tentang musuh-musuhnya di dalam Umno.

Lah harus bijaksana mengambil kesempatan sebelum musuh-musuh di dalam Umno bersatu dan mendapat ilham untuk menyerang dan melawannya. Inilah yang Lah mungkin takut sedikit dan kenapa beliau perlu mengadakan pilihan raya cepat.

Perkara ini bukan rahsia lagi. Sejak setahun lalu Mahathir Mohamad sudah bergerak untuk merobohkan istana pasir yang Lah bina. Walaupun bekas PM itu sering sakit, tetapi dia bersungguh dan komited dengan kerjanya. Selepas meletakkan batu asas untuk serang Lah, Mahathir terus membina konkrit demi konkrit memburukkan Lah.

Ada pula tanda-tanda Mahathir akan bersama dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Kalau sebelum ini merka berdua – Mahathir dan Ku Li dilihat ada persamaan dalam menanggakapi pentadbiran Lah, tetapi kini mereka sudah mula duduk sepentas semasa satu majlis di Universiti Malaya dua bulan lalu. Mereak sudah mula bertindak secara fizikal. Terbaru dikhabarkan Mahathir akan berada dalam satu majlis dengan Ku Li di Kota Bharu, Ahad ini.

Perkembangan ini sesungguhnya tidak boleh dipandang ringan oleh Lah. Walaupun mereka pernah begaduh dan berperang, tetapi itu bukan alasan. Dalam politik perang boleh dihentikan dalam masa satu hari, dan begitu juga perang boleh dimulakan dalam masa tidak sampai satu malam.

Untuk menyerang dan menjatuhkan Lah, mereka boleh saja berpakat. Hari ini waluapun Ku Li masih menjadi ahli Parlimen BN yang tauliahnya direstui Lah di Gua Musang, namun anak raja itu nampaknya tidak mempedulikan sesiapa. Ku Li tidak menghormati Lah sebagai mana sepatutnya. Ku Li tetap memandang Lah sebagai budaknya.

Punca kenapa anak raja Kelantan bersikap begitu ada sebabnya. Ku Li tidak dipedulikan oleh Lah. Penulis pernah bertanya sendiri Ku Li, apakah Lah ada panggil untuk mendapat khidmat nasihat dalam bidang kewangan, ekonomi dan negara, jawab Ku Li tidak pernah. Tidak pernah Sayuti…. kata Ku Li.

Jadi tidak mustahil, kalau di hujung senja nanti Ku Li akan berpakat dengan Mahathir untuk menyerang dan menjatuhkan Lah. Tidak musathil kalau peristiwa kira-kira 15 tahun lalu akan berulang. Suatu masa dulu Ku Li berpakat dengan Lah menentang Mahathir, dan hari ini tidak aneh kalau ia akan bertukar Mahathir berpakat dengan Ku Li untuk menentang Lah.

Itulah yang perlu dibimbangkan oleh Lah, iaitu takut Ku Li dan Mahathir mendapat wahyu untuk menyusun strategi melawannya. Sebelum mereka mendapat wahyu elok kalau Lah berfikir sesuatu. Salah satu cara mengelakkan kemungkinan ini berlaku ialah dengan mempercepatkan ‘peperangan’ – pilihan raya umum.

Kesimpulannya sekiranya Lah perlu mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat sebabnya bukan kerana apa, melainkan kerana takut kepada kemungkinan itu. Dan adalah langkah bijak kalau Lah mengambil keputusan, bak kata orang padamlah api sebelum ia menjadi besar.

Dalam bab lain kalau benarlah Lah bersedia membubarkan parlimen, apakah ia memberi keuntungan dan kebaikan kepada pembangkang; PAS, Keadilan dan DAP. Apakah dengan pembubaran itu nanti ia bakal membawa sinar baru dalam politik Malaysia? Dalam erti kata lain pilihan raya ke-12 nanti bakal mencatat satu sejarah tersendiri!

Persoalan dan pertanyaan itu harus dipulangkan kepada pembangkang dan mereka kena jawab. Abdul Hadi Awang, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang kena menjawab dan membuat kajian secara mendalam dan menyeluruh mengenai laba dan rugi kalau pilihan raya dipercepatkan.

Tidak ada gunanya kalau pilihan raya didoakan cepat kalau pembangkang tidak bersedia. Rakyat tidak mahu menyaksikan pilihan raya akan datang sekadar mengendorsekan kemenangan BN saja. Kalau itulah maksudnya lebih baik tidak perlu diadakan pilihan raya setidak-tidaknya ia boleh menjimatkan wang rakyat.

Soalnya kini bersediakan pembangkang (BA)? Kalau hanya mengharapkan pilihan raya umum cepat, tetapi tidak ada persediaan dan bakal membawa apa-apa perubahan lagak pembangkang tidak ubah seperti nelayan di pinggir pantai yang mendoakan datang bah, tetapi perahu dan kapal tidak disiapkan.

Janganlah kerana semata-mata hendak berpesta ketika pilihan raya, atau terkhayal dengan mimpi akan menang besar, menyebabkan BN akan menyapu habis semua kerusi dan menyebabkan rakyat penyokong pembangkang akan derita selama lima tahun lagi. Sebaiknya sebelum masuk ke medan perang buatlah persiapan serapi yang mampu!

Masa sekarang bukan untuk beretorika lagi tetapi kita perlu praktikal dan berpijak di bumi nyata!