tag. -->



 

 
   
 

 

Isu Perpaduan: Perjalanan Kita Masih Jauh!

Oleh Aman Rais

 

 

Apabila menyentuh soal agama dan kaum, kita semua menjadi begitu sensitif hingga mudah hilang pertimbangan. Malah, ada yang boleh hilang akal apabila dibangkitkan soal asal-usul dan akidahnya.

Begitulah fikrah manusia, lain di mulut, lain di hati dan soal ras dan agama bukanlah perkara mudah untuk dikompromi. Walaupun kita di Malaysia menganggap diri kita berjaya menyatupadukan pelbagai kaum dan agama di bawah satu bendera, namun di sudut hati setiap orang Melayu, Cina, India, Punjabi dan pribumi, masih tebal sensitiviti perkauman dan keagamaan.

Tahun ini genap 50 tahun kita merdeka, namun awal-awal lagi, perpaduan dan pemuafakatan yang kita war-warkan telah diuji. Dua isu berkaitan status agama orang mati – allahyarham Mohamad Abdullah atau M.Moorthy dan mendiang Nyonya Tahir mencabar kerasionalan semua pihak termasuk menteri-menteri kabinet.

Malaysia dianggap model bagi seluruh global apabila bercakap soal perpaduan kaum dan agama. Seluruh rakyat boleh berganding bahu bekerja, belajar, bersukan dan berpesta. Malah, apabila berpolitikpun, kita boleh bertoleransi apabila memperjuangkan kepentingan bersama.

Perpaduan parti pelbagai kaum begitu utuh dalam Barisan Nasional (BN) di bawah konsep pemuafakatan bersama. Namun apabila muncul isu Perkara 121 (1A ) Perlembagaan Persekutuan, menteri-menteri kabinet bukan Islam pun terlupa pada konsep tersebut.

Lagak pembangkang

Mereka bertindak luar biasa bertukar menjadi seperti ahli politik pembangkang yang gemar mengusung memorandam. Sembilan menteri bukan Islam ini memecahkan tradisi BN apabila bersatu mendesak Perdana Menteri untuk meminda undang-undang tersebut.

Begitu mudah kita hilang pertimbangan, menangguk di air keruh, mencabar kebijaksanaan Presiden Umno dan kesabaran orang Melayu. Walaupun menteri-menteri bukan Islam itu telah menarik balik memorandam mereka, tetapi tiada siapapun yang meminta maaf. Kalau mereka berasa tidak bersalah meminta akta tersebut dipinda, sekurang-kurangnya mereka perlu berasa kesal kerana telah mengeruhkan keadaan.

Perpaduan di Malaysia ibarat air di kolam, tenang tetapi di dasarnya sarat dengan pelbagai sampah sarap dan selut. Kita nampak harmoni di luar tetapi di dalam hati sarat dengan rasa tidak puas hati, dengki khianat, iri hati dan prejudis.

Sifat perkauman

Kita boleh duduk semeja di dalam bilik lembaga pengarah, bersorak dan berpeluk di stadium meraikan kejayaan pasukan badminton negara, melaungkan merdeka..merdeka...merdeka di Dataran Merdeka atau bersama menari meraikan tahun baru di Bintang Walk, namun jauh di sudut hati masing-masing masih tebal sifat perkauman.

Setelah hampir 50 tahun cuba menanam keserasian dan persefahaman, sebenarnya kita masih gagal. Perpaduan yang kita lihat di permukaan masyarakat Malaysia hari ini sebenarnya dipaksa-paksa. Ia satu ciptaan bukannya suatu yang lahir dengan sendirinya.

Tiada keikhlasan antara penduduk negara ini apabila soal bahasa ibunda, keturunan dan agama dibangkitkan. Namun tiada siapa boleh dipersalahkan dalam soal ini kerana memang itu naluri semula jadi manusia.

Kes M. Moorthy membuktikan banyak yang terbuku di hari orang Melayu, Cina dan India selama ini yang menunggu masa untuk diluahkan. Rupa-rupanya banyak pihak tidak selesa dengan perkara 121 (1A) itu walaupun ia tidak menjejaskan atau merugikan hak mereka.

Kalau dulu soal ekonomi dikatakan menjadi punca peristiwa 13 Mei, kini soal agama pula yang mencabar perpaduan dan kematangan kita. Setelah kita berjaya mengekang isu-isu sensitif seperti ketuanan Melayu dan hak keistimewaan bumiputera, kita terlupa soal keagamaan turut menimbulkan prasangka antara kaum.

Kita ambil mudah isu saudara baru kerana terlalu sibuk bertelagah sesama Islam. Umno tidak habis-habis memberikan pelbagai label radikal, ekstrim dan Taliban kepada PAS dan pihak berkuasa agama kebingungan menangani karenah Ayah Pin. Kita terlupa ada isu yang lebih sensitif yang perlu ditangani segera secara bijaksana.

Kes M.Moorthy jelas mendedahkan kelemahan urusan pentadbiran pihak berkuasa agama negara ini. Tiada keselarasan tugas antara negeri dan pusat, Perkim dan Kor Agama (KAGAT). Soal pendaftaran saudara baru mungkin dianggap remeh oleh banyak pihak selama ini, namun apabila berlaku kes seperti ini, ia boleh menjejaskan keharmornian negara.

Semua pihak termasuk pihak berkuasa agama Islam perlu sedar soal pertukaran agama adalah sangat sensitif bagi mana-mana keluarga atau individu. Sebagaimana pekanya umat Islam terhadap isu murtad, begitu jugalah orang bukan Islam apabila berhadapan dengan soal pertukaran agama anggota keluarga mereka.

Menanguk di air keruh

Oleh itu, semua pihak berkuasa agama Islam perlu belajar dari isu M.Moorthy ini, perlu belajar menyimpan rekod yang kemaskini mengenai saudara baru atau muallaf bagi memastikan status keislaman mereka semasa hidup dan mati.

Jika pihak berkuasa berkenaan tidak belajar dari pengalaman ini, banyak lagi kes seperti ini akan muncul kelak. Pelbagai masalah akan timbul dan dibimbangi “bom jangka” yang tertanam di setiap penjuru hati orang Melayu, Cina dan India akan meletup.

Bagi parti-parti politik dan NGO agama pula, mereka perlu menghentikan amalan menanguk di air keruh. Berhimpun, berarak dan menghantar memorandam bukan cara bijak menangani isu-isu yang sensitif. Tiada siapa akan dianggap sebagai hero jika keamanan rakyat dan negara telah dicemar.

Sembilan orang menteri yang “berarak” ke Sri Perdana menghantar memorandam sepatutnya menyesali tindakan mereka. Sebagai ketua, mereka tidak sepatutnya emosional kerana sekarang bukan masanya untuk berlagak hero kaum dan agama masing-masing.

Cukuplah M.Moorthy menjadi “Wira Everest”, kita tidak memerlukan lagi “wira-wira” cauvinis untuk merobohkan jambatan perpaduan yang rapuh itu. Sesungguhnya tempoh 50 tahun ada masa yang singkat untuk membina satu persefahaman yang utuh. Perjalanan kita masih jauh