tag. -->



 

 
   
 

 

Kisah Ibu Tunggal Dan Polis

(Mohd Sayuti Omar) 

 


Fikiran awal saya tatkala membaca tajuk berita berbunyi “Ibu tunggal kesal ditahan akibat tegur perbuatan polis,” merasakan betapa ada sesuatu yang masih belum kena dengan pasukan polis. Tajuk berita itu memberi gambaran bahawa polis tidak boleh ditegur. Saya membayangkan polis begitu yakin bahawa tindakan mereka sentiasa benar belaka. Lantas mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada pada mereka.

Lantas fikiran saya menjalar dan mempersoalkan apakah badan bebas yang dibentuk untuk melakukan pembaikan ke atas perkhidmatan polis tidak lama dulu yang memakan kos yang bukan sedikit itu tidak membuahkan apa-apa hasil, kerana polis masih lagi dipersoal dan terus diragui akan kemurnian tugasnya.

Sejajar dengan itu terbetik juga di benak saya, apa akan jadi dengan pasukan polis di negara ini. Polis telah menjadi semacam musuh dan bukan kawan kepada orang ramai. Integriti polis sebagai pasukan atau sekumpulan manusia yang ditugaskan menjaga keselamatan negara juga amat buruk sekali.

Apa yang kita fikir dan mahukan selamanya; seharusnya dalam sebuah negara demokrasi (bukan negara polis) seperti Malaysia, polis dan orang ramai sentiasa berganding bahu di antara satu sama lain, sama-sama menjaga keselamatan negara. Kedua entiti ini tidak boleh dipisahkan, mereka diibaratkan aur dengan tebing.

Bayangkan bagaimana polis dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya tanpa kerjasama orang ramai. Di mana dan bagaimana polis hendak dapatkan maklumat mengenai sesuatu kes, kalau tidak daripada orang ramai. Jadi kalau polis sudah bersikap bermusuh – menakutkan orang ramai, bagaimana jenayah boleh dikurangkan!

Sesuatu yang tidak betul telah dan sedang berlaku dalam pasukan keselamatan dan orang awam negara ini. Begitulah persepsi saya dan juga kebanyakan mereka yang mempunyai sejarah hitam dengan polis, tatkala membaca tajuk berita itu. Tajuk berita itu menambahkan tanggapan negatif terhadap polis selama ini.

Namun setelah saya membaca isinya dan membuat analisa keatas apa yang berlaku, (berdasarkan laporan itu) saya dapat memahami semacam apa yang berlaku itu ada kebenaran dan ketepatan tindakan polis ke atas ibu tunggal bersama dua anaknya itu.

Di sini saya turunkan sinopsis laporan berkenaan; seorang ibu tunggal bersama anaknya telah dimasukkan ke dalam lokap akibat kerana menegur perbuatan polis yang dianggap tidak senonoh kerana meraba punggung anak gadisnya. Ibu tunggal berkenaan kemudian dibawa ke mahkmah atas tuduhan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada anggota polis. Beliau kesal dengan kejadian itu dan telah menceritakan apa yang berlaku kepada peguamnya.

Berdasarkan kepada kenyataan ibu tunggal itu jelas menggambarkan kerakusan dan jahatnya polis yang membuat pemeriksaan ke atasnya itu. Ibu tunggal itu tidak sepatutnya diperlakukan begitu apa lagi disumbat ke dalam lokap kalau hanya kesalahannya sekecil begitu. Tetapi persoalannya (yang kita tidak tahu) apakah kejadian itu berlaku seperti mana didakwa ibu tunggal berkenaan dan dilaporkan oleh media itu?

Dan apakah benar ibu tunggal tersebut telah mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada polis sehingga dia didakwa di mahkamah? Dan kalaulah benar ibu tunggal itu telah mengeluarkan kata-kata kesat apakah ianya wajar dilokap dan didakwa?

Apabila saya memerhati kepada pakaian ibu tunggal berkenaan bersama dua anaknya ketika sedang memberi kenyataan akhbar kepada peguamnya yang turut diperhatikan oleh ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok (seperti mana dilaporkan), saya merasakan ada kebenaran di pihak polis terhadap apa yang berlaku.

Dari itu tuduhan atau pun tanggapan serong saya ke atas polis (hanya berdasarkan laporan berita berkenaan) perlu diralatkan. Situasi di dalam kes ini, pihak polis seperti berada di pihak benar dan betul.

Ibu tunggal berusia 49 tahun yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma itu mendakwa beliau dituduh dengan kata-kata kesat sebagai perempuan “sundal”. Perempuan “sundal” dalam konotasi orang Melayu sesuatu yang cukup aib dan negatif sekali.

Memang kita tidak setuju dan tidak boleh menerima kalau kata-kata itu dilemparkan sesedap rasa kepada sesiapa sahaja. Apa lagi kalau orang yang dituduh itu tidak berperibadian demikian. Islam juga melarang kita membuat tuduhan berdasarkan pandangan zahir semata-mata. Lagi pun dewasa ini kerajaan sedang menjalankan kempen berbudi bahasa di kalangan rakyat negara ini.

Namun apabila diperhatikan dan dibayangkan kepada pakaian ibu tunggal berkenaan bersama dua anaknya, sehingga menampakkan pangkal buah dada, ada munasabah untuk polis atau sesiapa sahaja beranggapan demikian – menuduh mereka perempuan sundal. Mungkin apa yang berlaku di antara ibu tunggal dan polis itu begini; mungkin ibu tunggal itu mempertikaikan kenapa polis menghampiri dan menyiasat beliau. Apabila ditanya mungkin polis itu menjawab kerana awak kelihataan persis perempuan sundal.

Mungkin itu yang terjadi.

Kalau peristiwa perang mulut itu hanya setakat itu, bagi saya tidak ada salahnya di atas salah jangkaan polis itu. Kerana (sekali lagi berpandukan kepada gambar ibu tunggal itu), pakaiannya memang tidak sesuai dipakai oleh seorang ibu berbangsa Melayu beragama Islam di tengah-tengah khalayak begitu. Benar cara berpakaian itu hak dan budaya yang dibenarkan oleh Perlembagaan, tetapi ibu tunggal itu tidak memahamai sensitiviti orang lain termasuklah polis berkenaan. Pakaian mereka tiga beranak tidak menggambarkan yang mereka berperibadian baik dalam konteks fahaman Islam dan Melayu? Sebagai warganegara yang hidup dalam pelbagai masyarakat kita harus menghormati nilai-nilai masyarakat lain apa lagi memperahankan nilai-nilai budaya etnik kita sendiri.

Mungkin polis itu tidak berminat untuk menyoal siasat ibu tunggal itu lama-lama kalau ianya bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam. Pakaian seperti itu biasa bagi wanita bangsa lain, misalnya Cina, Jepun atau pun Korea. Sekali tengok pakaian ibu tunggal dan dua anaknya itu saling tidak tumpah dengan pakaian yang dipakai oleh wanita Cina atau Korea atau Thailand yang diberkas atau ditangkap di pub dan juga rumah-rumah urut haram di Kuala Lumpur.

Jadi kesimpulannya, berdasarkan senario itu, tindakan polis membuat penyiasataan ke atas wanita berkenaan tidak merupakan satu kesalahan apa lagi satu tingkah laku ganjil dan jijik pihak polis. Adapun kenapa beliau ditangkap dan kemudian di bawa ke balai polis, besar kemungkinan wanita berkenaan telah mengeluarkan kata-kata melampau ke atas tindakan polis berkenaan?

Untuk di masa akan datang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku adalah baik kaum wanita di negara ini khasnya beragama Islam dan berbangsa Melayu apa lagi yang sudah memilik anak gadis sunti, tidak mengamalkan pakaian musim panas begitu. Apa lagi musim sekarang ini tidak berapa hangat sangat. Lagipun di kala ini negara kita banyak dicerobohi (dibawah masuk) oleh perempuan luar yang berpakaian seperti itu di mana ia kadang-kadang membuatkan polis boleh tersalah jangka maka akan berlakulah apa yang berlaku ke atas ibu tunggal yang malang itu.

Kalaupun teringin sangat untuk mengenakan pakaian seperti itu kerana untuk tidak dituduh sebagai kolot atau ekstrim pakailah di dalam rumah atau di halaman rumah sendiri sahaja!