tag. -->



 

 
   
 
 

Kes China Pree: 'Ayam disembelih untuk mengajar kera!'

(Lee Ban Chen)

 

 Pada 5 Januari 2006, Ketua Pengarang Chong Siew Nam dan Ketua Pengarang Eksekutif Wang Siew Teng @ Wang Zhao Ping akhbar The China Press telah meletak jawatan atas desakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN).

 

Mereka ‘dikehendaki’ berbuat demikian sebagai ‘bertanggungjawab’ untuk menebus kesalahan berhubung penyiaran sebuah berita pada 23 November lalu, agar edisi petang akhbar The China Press tidak dihentikan pengeluarannya.

Kesalahan tersebut membabitkan laporan mengenai seorang wanita yang disalahanggap sebagai rakyat China yang diarah ketuk-ketampi dalam keadaan bogel di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Berita tersebut tersebar luas dan dikatakan telah menjejaskan imej negara kita.

Wanita yang diaibkan itu kemudiannya disahkan sebagai rakyat Malaysia. Namun, jelas juga bahawa kesilapan akhbar itu juga bukan sengaja dilakukan dengan niat yang jahat, tetapi ‘terkeliru’ dengan kes empat wanita rakyat China yang juga diaibkan polis, yang didedahkan oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh) sebelum itu.

Perlu diakui, sebenarnya ramai yang ‘terkeliru’seperti wartawan akhbar China Press, termasuk Utusan Malaysia dan menteri-menteri (mungkin juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri). Lebih penting lagi, kesilapan China Press dalam edisi petang 23 November itu, telah diperbetulkan dalam edisi pagi 24 November.

Oleh itu, akhbar tersebut tidak patut dipertanggungjawabkan, walaupun hakikatnya kes dengan fakta yang salah itu, telah mendapat sorotan meluas media antarabangsa dan menimbulkan kemarahan rakyat China.

Identiti wanita

Lebih-lebih lagi, fakta yang salah itu bukan saja tidak diperbetulkan oleh Kerajaan Malaysia, malah Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid telah pergi ke China untuk memohon maaf dan cuba meyakinkan rakyat China bahawa wanita negara dari negara itu tidak pernah disasarkan untuk diaibkan atau dicurigai tujuan kedatangan mereka ke Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho, Azmi memang tidak tahu identiti wanita terbabit sehinggalah dia (wanita itu) tampil memberi keterangan di hadapan suruhanjaya. Kata Tan, Azmi hanya memohon maaf serta menyatakan kesesalan berhubungan beberapa insiden yang berlaku terhadap pelancong China di negara ini dan ia tidak ada kaitan dengan kes berkenaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan Azmi memohon maaf, tanpa memperbetulkan salahanggap terhadap identiti wanita terbabit, sudah menimbulkan salahfaham mengenai sebab beliau berbuat demikian.

Jika Azmi mengaku yang beliau tidak tahu identiti wanita terbabit, maka Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan yang diarah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menyiasat kes tersebut tanpa sebarang ‘cover-up’, dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar yang mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan mengenai kes tersebut, tentu tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu identiti wanita terbabit.

Kenapakah mereka juga tidak mendedahkan identiti sebenar wanita tersebut supaya dia tidak disalahanggap sebagai wanita rakyat China? Sebaliknya, Sebaliknya, Noh telah mempertahankan salahlaku polis yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia dan China, dan dengan angkuh mengatakan “jika anggap polis kita zalim, tak usahlah datang ke negara kita!”

Bagi mereka yang waras dan adil, selepas dibandingkan antara kesalahan akhbar China Press yang tidak disengajakan, dengan kesalahan pihak yang terbabit – Azmi, Musa Hassan dan Noh Omar – maka kesalahan China Press adalah yang paling ringan sekali.

Namun, sehingga kini, masih tiada mana-mana pihak yang kena hukum. Kenapa hanya dua Ketua Pengarang China Press sahaja yang perlu dipaksa meletak jawatan dalam kontroversi kali ini? Tidakkah diberi amaran atau dikehendaki memohon maaf secara terbuka atas kesalahan yang tidak disengajakan itu, sudah mencukupi?

Kawalan media

Justeru, dua orang Ketua Pengarang China Press telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk meredakan kemarahan terhadap pihak polis berikutan tertekan oleh pendedahkan media mengenai kes-kes kezaliman dan salahlaku pihak polis, dan juga untuk memberi amaran kepada media supaya tidak bersikap kritikal – bak kata pepatah Cina: Ayam disembelih untuk mengajar kera!

Akhbar China Press adalah milik MCA. Kawalan dan manipulasi media berasaskan pertimbangan dan kepentingan politik mengikut kaum, sudah menjadi dasar parti itu. Oleh itu, MCA – seperti Umno dan MIC – tidak dapat diharapkan untuk mempertahankan kebebasan media.

Mereka bersedia untuk mengorbankan dua orang ketua pengarang akhbar terbabit dengan alasan ‘mereka terpaksa dikorbankan’ untuk menyelamatkan lesen penerbitan edisi petang akhbar terbabit daripada dibatalkan.

Menurut logik ini, semua akhbar terpaksa berhati-hati membuat kawalan dan penapisan diri/dalaman supaya tidak melintasi batasan yang diizinkan pihak berkuasa. Dan bila diberi amaran atau gertakan lesen akan digantungkan atau dibatalkan, maka majikan akhbar terbabit akan tunduk dengan serta-merta, dan tergadailah prinsip kebebasan media!

Oleh itu, pemilikan media oleh parti-parti berkuasa yang mengamalkan kawalan media adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan media. Keadaan ini membantutkan bangkitnya sebarang gerakan atau perjuangan menuntut kebebasan media. Matlamat parti terbabit ialah cuba mengawal dan memanipulasi media demi kepentingan politik perkauman mereka.

Dari analisis tersebut, jelaslah dua orang ketua pengarang akhbar China Press dijadikan kambing hitam dengan subahat MCA untuk memperketatkan sekatan media demi kepentingan politik Barisan Nasional.

Justeru, sebarang gerakan memperjuangkan kebebasan media hendaklah tertumpu kepada penentangan terhadap segala akta dan amalan yang bertentangan dengan prinsip kebebasan media, termasuk pembaruan lesen pengeluaran akhbar setiap tahun dan pemilikan media oleh parti politik.