tag. -->



 

 
   
 
 

Selamat Datang 2006

(Hishamuddin Rais)

 

Saya bukan seorang nujum. Tetapi dari apa yang saya perhatikan dan dari apa yang saya kaji dan baca, tahun 2006 ini akan lebih menarik, rancak dan menggegarkan hidup dari tahun lalu.

Ini hanya ramalan/ pandangan yang mungkin kesemuanya salah. Jika apa yang saya paparkan ini "kantoi" maka ertinya pada tahun 2006 ini kehidupan kita sebagai  manusia masih lagi selamat dalam dunia ini. Ramalan-ramalan saya ini bukan pesimis atau untuk menakut-nakutkan. Saya ingin menjadi serealis yang mungkin agar tahun 2007 nanti kita semua akan dapat bersama-sama berpesta menyambut tahun 2007.

Bila saya menulis ini harga bahan bakar minyak petrol telah naik dari 61 dolar ke 63.30 Dolar satu tong. Ini masih rendah berbanding dengan 70 dolar satu tong pada 31 Ogos yang lalu. Pada pandangan saya tahun ini harga bahan bakar minyak ini akan melintasi 70 Dolar satu tong dan mungkin mencecah ke 100 Dolar.

Jika ini berlalu maka struktur sistem ekonomi kapitalis dunia yang wujud hari ini akan mengempis. Jika ianya mengempis lama mungkin ianya akan membawa kepada zaman meleset yang lebih buruk dari tahun 1926 dahulu. Bibit-bibit kemelesetan ini telah lama muncul. Kini manifestasinya semakin jelas.

Sistem ekonomi kapitalis dunia hari ini dijana oleh bahan bakar minyak petrol. Jika penggerak sistem ini berkurangan bermakna sistem ini akan menghadapi tekanan.

Penggerak utama ekonomi kapitalis dunia ialah para pengguna dari Amerika Syarikat. Hari ini Amerika Syarikat jika mengikut hukum dunia perniagaan sebuah syarikat ianya telah lama diisytiharkan muflis. Hutang negara ini telah melintasi 4 trilion dolar. Amerika hanya dapat terus bernafas kerana adanya bantuan pinjaman dari negara China dan Jepun. Sampai bila dua negara ini dapat terus memberikan pertolongan kepada yang berhutang bergantung kepada turun naik harga bahan bakar minyak petrol dan nilai dolar itu sendiri.

Amerika muflis

Manifestasi utama yang sedang memperlihatkan suasana zaman mengempis akan sampai ialah naiknya kadar bunga untuk pinjaman membeli rumah. Ini bukan petanda awal tetapi satu malapetaka, jika kadar bunga ini gagal dibayar maka si pemiutang akan diisytiharkan muflis. Jika yang berhutang muflis maka bank-bank juga akan turut terlungkup sama.

Suasana ini bertambah buruk lagi kerana Amerika Syarikat hari ini sedang membelanjakan hampir 2 bilion Dolar sehari untuk perbelanjaan perang di Iraq. Ini satu belanjawan yang amat tinggi untuk sebuah negara yang sedang nazak berhutang. Rancangan dan cita-cita kabal zionist-neo-con yang mengharapkan minyak di Iraq akan dapat membawa rezeki lumayan, nampaknya telah meleset.

Semasa saya menulis ini hampir ke semua paip saluran minyak ke utara, ke selatan dan ke barat Iraq telah ditutup kerana diserang oleh gerila anti- Amerika. Malah di Kirkuk, wilayah lembah minyak, rakyat Iraq telah bangun berdemo kerana harga minyak telah dinaikkan. Satu ironi, Iraq negara kedua di dunia sebagai pengeluar minyak kini telah kehabisan minyak dan terpaksa menaikkan harga minyak.

Sila beri perhatian pada bulan Mac 2006. Ini adalah satu bulan yang amat penting kepada Iran. Pada bulan ini untuk pertama kalinya satu lagi bursa minyak akan dibuka di Tehran. Bursa Tehran untuk jual beli minyak ini tidak lagi akan menggunakan Dolar tetapi beralih ke Euro. Langkah yang diambil oleh Iran ini adalah satu langkah yang radikal. Tujuan asasnya ialah untuk meminggirkan dolar yang pada asasnya hanyalah kertas hijau yang tidak memiliki nilai seperti yang diwar-warkan.

Langkah Iran ini telah disambut baik oleh beberapa negara pengeluar minyak di Amerika Latin. Malah negara China dan India - dua negara yang semakin rakus sebagai pembeli minyak mentah telah bersetuju untuk memasuki bursa minyak Tehran. Apabila ini berlaku maka nilai Dolar akan merudum dan satu lagi tamparan untuk kuasa imperial Amerika Syarikat.

Apa yang dilakukan oleh Iran ini bukan satu yang baru. Sesudah Perang Teluk pertama dahulu, Saddam Hussein juga telah menggantikan Dolar dengan Euro untuk jual beli minyak. Ini juga adalah salah satu ‘jenayah’ besar Saddam Hussein kerana beliau telah berani menentang kepentingan kuasa ekonomi imperial Amerika.

Apakah sebelum bulan Mac ini sampai Iran akan diserang? Rancangan untuk menyerang Iran ini telah siap. Para politikus dan ketua-ketua tentera zionis Israel telah berkali-kali secara terbuka meminta Amerika Syarikat menyerang Iran. Malah pemimpin zionis di Israel telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyerang Iran tanpa Amerika. Ini juga bukan satu tindakan baru oleh zionis Israel. Pada tahun 1978 dahulu pusat kajian nuklear Iraq telah dibom oleh
Israel.

Krisis Timur Tengah

Hujah – Iraq membuat senjata nuklear – akan digunakan sekali lagi untuk menyerang Iran.

Jika Iran diserang, ini juga bermakna perang di Timur Tengah akan melebar lebih luas. Tidak dapat tidak Syria akan terjemput sama dalam krisis ini. Tanda-tanda untuk menyerang Syria telah jelas kelihatan. Syria telah dituduh sebagai dalang dalam pembunuhan Hariri di Lebanon. Jika sekiranya Syria diserang sama, maka tempias perang akan masuk ke Turki. Jika ini berlaku maka seluruh negara di Timur Tengah akan bergolak.

Kurangnya bahan bakar minyak di pasaran dunia berlaku kerana telaga minyak semakin susut. Susutnya pengeluaran minyak ini telah mula menunjukkan manifestasinya di Eropah Barat. Ketika saya menulis ini, mengikut laporan akhbar The Independent, beberapa kawasan di Selatan England telah mula kehabisan minyak. Pemakai kereta terpaksa bergerak lebih jauh untuk mencari kedai-kedai minyak yang masih memiliki minyak. Keadaan ini bertambah buruk kerana musim sejuk tahun ini di luar kebiasaan.

Dalam masa yang sama, jika kita mengikuti "perang gas" di antara Rusia dengan Ukraine maka kita akan memahami bahawa harga bahan bakar gas juga akan terus naik selari dengan kenaikan harga minyak. Lebih dari tiga suku gas yang digunakan di Eropah datangnya dari Rusia. Pergantungan negara-negara ini kepada gas dari Rusia sedang dilihat sebagai satu ancaman strategik.

Dalam masa yang sama satu demi satu syarikat minyak dan syarikat gas di Rusia telah dimiliknegarakan sekali lagi. Ini sama seperti dasar ekonomi sosialis yang telah cuba dimusnahkan oleh kuasa kapitalis Barat selepas runtuhnya Union of Soviet Sosialis Republics (USSR) pada tahun 1989 dahulu.

Pada tahun 2006 ini saya amat yakin perang di Iraq akan berterusan. Hu hah hu hah Rumah Putih untuk menarik kembali tentera Amerika itu hanyalah omong kosong. Bala tentera Amerika akan terus berpengkalan di Iraq. Mungkin dari strategi perang Amerika akan menggunakan lebih banyak serangan udara dari serangan tentera darat. Ini bertujuan untuk mengurangkan angka kematian. Hingga ke hari ini 2187 soldadu Amerika telah tewas dan hampir 14,000 cedera
parah.

Kerajaan boneka Amerika di Iraq yang akan dibentuk pada tahun ini tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk menumpaskan gerila dan mujahidin anti- Amerika. Dari segi diplomatik, Amerika Syarikat akan mengarahkan negara-negara Arab yang menjadi anak-anak suruhan di Liga Arab untuk menerima rejim boneka ini.

Dalam masa yang sama Amerika juga akan mengarahkan negara-negara Islam dalam OIC untuk memberikan sokongan moral dan mungkin juga sokongan ketenteraan kepada rejim boneka ini.

Aktiviti kabal-kabal zionis dan kabal neo-con sedang bergerak merancang untuk melahirkan satu dunia baru – New World Order. Di Malaysia pada tahun 2006 ini kita akan melihat aktiviti kabal-kabal ini dengan rancak sekali. Kabal-kabal ini akan datang dalam pelbagai bentuk dan memakai bermacam-macam jubah.

Dengan parti-parti politik mereka akan datang sebagai penasihat, perunding atau datang untuk berseminar dan berkongres. Untuk badan-badan bukan kerajaan kabal-kabal ini akan menyalurkan dana-dana dalam pelbagai bentuk. Aktiviti kabal-kabal ini bukan hanya menjurus kepada pihak pembangkang. Parti-parti politik yang berkuasa juga akan dimasukkan sama dalam agenda kabal neo-con ini.

Tahun 2005 kita telah melihat bagaimana politik negara berjalan tanpa satu pimpinan yang jelas. Pada tahun 2006 ini tidak mungkin satu perubahan akan berlaku. Pentadbiran kerajaan di bawah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari sehari ke sehari semakin menjadi bahan-bahan lawak untuk sistem pesanan ringkas.

Saya rasa pada tahun 2006 di Malaysia harga minyak akan dinaikkan sekurang-kurangnya dua kali. Kerajaan yang ada hari ini tidak memiliki banyak pilihan. Kerajaan terpaksa mengikut rentak pasaran ekonomi dunia. Apabila harga minyak naik maka tidak dapat tidak harga-harga bahan-bahan yang lain juga akan turut sama naik. Jika sekiranya harga minyak melintasi 100 dolar satu tong maka warga wajib bersedia kerana satu krisis ekonomi akan muncul. Krisis ekonomi ini juga akan membawa krisis politik dalaman parti yang memerintah.

Bila krisis berlaku maka parti pemerintah akan memainkan isu perkauman. Tragedi Kampung Medan mungkin akan diulang tayang. Kita sebagai warga yang bertanggungjawab wajib berwaspada. Kumpulan-kumpulan rasis dari semua kaum memang sedia wujud dan hanya menunggu masa untuk mengasah taring.

Apa yang saya tuliskan ini kelihatan berbunyi pesimis. Sebenarnya tidak. Kita wajib melihat krisis ekonomi dan krisis politik dunia kapitalis ini dengan sikap positif. Lihat sahaja ketika kuasa politik dan kuasa bala tentera Anglo-Amerika terperangkap di padang pasir di Iraq, suasana politik di Amerika Latin berubah. Satu demi satu negara di Amerika Latin yang dahulunya di bawah rejim tentera atau diktator kini telah mengambil jalan demokrasi. Tujuh buah negara di Amerika Latin, yang terbaharu di Bolivia di mana rakyatnya telah bangun dan menolak projek kabal zionis-neo-con.

Penentangan rakyat Amerika Latin terhadap projek penswastaan, projek IMF dan projek WTO kini sedang memberi cahaya untuk menjadi ikutan kepada rakyat di negara-negara Asia dan Afrika. Projek anti rakyat WTO yang baru bersidang di ong Kong telah digagalkan sekali lagi. Perjuangan rakyat Nepal untuk mendirikan negara republik demokrasi sedang berterusan.

Arus demokrasi dan tuntutan keadilan oleh semua bangsa sedang berkembang. Ini bukan sahaja di Asia, Afrika dan di Amerika Latin, di Eropah Barat dan Timur malah di Amerika Syarikat sendiri suara pro demokrasi semakin lantang.

Tahun 2007 nanti, kita sama-sama lihat apakah betul apa yang saya tulis ini. Jika betul ramalan ini mungkin bom nuklear Israel telah diletupkan di Iran. Jika ini berlaku, kita semua tidak wujud lagi. Jadi kita tidak perlu memesan tiket untuk berpesta dengan muzik Black Metal atau Peter Pan untuk sambutan tahun
baru.

Tetapi ini hanya ramalan. Hanya satu perkara yang saya amat yakin akan berlaku iaitu arga minyak akan naik lagi