tag. -->



 

 
   
 
 

Nostalgia Seorang Pesara....

(Aman Rais)

 

Bekas Perdana Menteri yang juga mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat komen yang sangat menarik dua hari lalu mengenai perangai ahli dan wakli rakyat Umno.

Beliau menyatakan kesedihannya kerana ahli Umno dan ahli parlimen tidak menyokongnya dalam isu permit import (AP). Beliau juga membidas Pergerakan Wanita Umno kerana tidak bersuara dalam kes berkenaan, semata-mata kerana Datuk Seri Rafidah Aziz adalah ‘bos’ mereka.

Nampaknya walaupun isu AP telah ‘selesai’, namun Dr Mahathir masih terbuku di hatinya. Beliau lebih kecewa lagi apabila rombongn ahli Parlimen yang diketuai Datuk Shahrir Samad yang menemuinya untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu AP, turut membisu. Wira Dunia Ketiga itu berharap para “backbencher” akan menyokongnya apabila Rafidah muncul dalam sesi soal jawab mengenai AP di Dewan Rakyat.

Sepatutnya, sebelum mengkritik ahli dan para pemimpin Umno itu, Dr Mahathir perlu sedar mengenai dua perkara pokok. Pertama, beliau perlu sedar, apabila meletakkan jawatannya dua tahun lalu, dirinya bukan lagi ‘bos’ parti Umno dan kerajaan. Dr Mahathir perlu menerima hakikat bahawa dalam kamus Umno, beliau sudah menjadi sejarah. Apabila sudah menjadi sejarah, cerita dan suaranya bukan lagi untuk didengar tetapi sekadar untuk dikenang!

Kedua, Dr Mahathir sepatutnya tahu budaya Umno – ahli-ahlinya hanya akan mendengar suara dan mengekori pemimpin ke mana sahaja apabila seseorang itu berkuasa. Apabila tidak berkuasa lagi, anda hanya layak digelar negarawan, tetapi bukan lagi untuk digeruni seperti 22 tahun lalu. Yang mereka ikuti sekarang ialah orang yang berada di koridor kuasa.

Koridor kuasa

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dua nama yang menjadi ikutan sekarang. Segala kata-kata dan tindak tanduk mereka diangguk oleh para pengikut. Tidak ketinggalan juga Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin – tokoh muda yang sedang memanjat hiraki kepimpinan parti.

Walau sehebat atau sekerap mana sekalipun kepimpinan kerajaan yang ada sekarang dikritik, ia tidak akan melemahkan Abdullah dan Najib. Dr Mahathir boleh “menyalak” setiap hari, tapi ia tidak akan meruntuhkan “bukit”.

Akhbar dan stesen TV akan menyiarkan setiap ucapan atau komen bekas Perdana Menteri itu tetapi ia tidak bermakna peluang dan ruang yang diberi itu akan mendatangkan kesan. Kadangkala ia tidak lebih daripada satu layanan untuk menjaga hati“orang tua”.

Orang Melayu memang tinggi budi bahasanya. Dalam kehidupan harian kita, jarang sekali datuk dan nenek diabaikan. Mereka diletakkan di tempat yang baik, akan dilayan dengan mesra kerana anak cucu tahu orang tua sangat sensitif, mudah melatah dan merajuk.

Kalaupun pandangan atau leteran mereka didengar, ia sekadar angin lalu di tepi telinga. Namun kita tetap dengan hipokrasi, pura-pura mendengar, sekadar mengambil hati!

Itulah hakikat yang melanda mantan Presiden Umno itu. Beliau dianggap sebagai sebuah institusi, wajar dihargai segala jasa baiknya kepada negara dan parti. Perlu diberikan ruang dan peluang di majlis-majlis syarahan dan liputan akhbar, tetapi bukan untuk didengar segala nasihat atau pandangannya.

Itu sebabnya, walaupun Dr. Mahathir menjadi Penasihat Proton, namun pandangannya hanya diminta setelah segala keputusan muktamad dibuat!

Bekas dan mantan

Dr Mahathir tidak boleh marah pada ahli Umno atau ahli Parlimen yang enggan bersuara. Sindrom membisu ini sudah lama melanda parti itu dan kerajaan. Parlimen tidak lebih daripada sebuah “rubber stamp”. Gejala ini sudah berlarutan lebih 22 tahun lalu.

Sepatutnya, wabak bisu yang mengunci mulut ahli parlimen itu ditegur semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu, bukannya apabila beliau sudah mempunyai cop “bekas” atau “mantan” di dahinya.

Tiada siapa berani “lawan tauke” dalam sistem politik Malaysia. Selagi kedudukan seseorang ketua cawangan, ketua bahagian, wakil rakyat dan anggota kabinet bergantung sepenuhnya pada budi bicara mereka yang berada di koridor kuasa, selagi itulah sindrom membisu dan pak turut terus bermaharajalela.

Apa yang boleh diharapkan dari wakil rakyat kita apabila mereka membuka mulut menentang dasar kerajaan, serta-merta mereka diberi amaran. Lihatlah apa yang berlaku pada ahli Parlimen Kinabatangan dan Sri Gading, mereka diberi amaran kerana menyokong usul Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Parlimen.

Tindakan kerajaan memberi amaran kepada kedua-dua wakil rakyat Barisan Nasional itu adalah isyarat jelas bahawa tugas mereka di Parlimen hanya sebagai pak turut. Mereka tidak boleh bersuara menongkah arus, walaupun isu yang dibawa oleh pembangkang berkaitan dengan kepentingan awam dan rakyat.

Dr Mahathir tidak perlu kesal atau kecewa melihat budaya ini kerana beliau adalah sebahagian daripadanya sejak 22 tahun lalu. Mana-mana pemimpin yang berani angkat muka di zamannya tidak bertahan lama. Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Shahrir Samad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua hanyut di bawah era Dr Mahathir.

Pak Lah dan AP

Abdullah hanya mewarisi amalan dan acuan politik dan pentadbiran yang ditinggalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu. Tiada siapa mengharapkan Abdullah akan membuat perubahan besar walaupun itulah harapan rakyat pada awal pemerintahannya. Tiada tanda-tanda tindakan drastik akan dilakukannya walaupun beliau pernah berjanji akan memerangi rasuah secara besar-besaran dan membuka ruang demokarasi yang lebih luas.

Begitu juga dengan Dr Mahathir, beliau tidak boleh mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu yang drastik dalam soal AP itu, kerana bagi kerajaan yang ada sekarang, AP bukan satu isu lagi. Buku mengenai AP sudah ditutup oleh Abdullah.

Bagi kerajaan, pembongkaran isu ini tidak lebih daripada luahan rasa kebimbangan seorang usahawan yang takut melihat projek kesayangannya gagal atau terbengkalai. Ia tidak lagi dianggap soal nasional, tetapi sebaliknya satu isu peribadi!

Begitulah hakikatnya apabila kita sudah kehilangan kuasa. Apabila sudah mempunyai label “bekas” atau “mantan” di pangkal nama, suara kita semakin sayup dari arus perdana. Kita sekadar boleh bernostalgia!

Jadi, perkara yang paling baik dilakukan oleh para pesara ialah bersara diam-diam. Di kampung-kampung, apabila seseorang bersara, mereka menjadi “kaki masjid”, merapatkan diri dengan Tuhan selain bermain dengan cucu-cicit.