Jika
tidak ditatap jauh ke dalam dasar laut politik Malaysia, kita
tidak akan menemui apa-apa yang tidak kena dengan laut politik
negara kita dewasa ini. Persis ia tidak berombak dan tampak
tenang sahaja. Tidak ada arus yang merentangi di tengah persada
politik negara kita. Lantas secara umum orang akan menyifatkan
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bisa membawa ketenangan kepada
politik Malaysia.
Kalau pun ada hanyalah kekecohan dan kebimbangan tentang ekonomi
yang suram temaram. Itu pun tidak begitu terfokus sangat oleh
rakyat selaku pengguna, yang terus diulik dengan janji-janji dan
dipesonakan dengan sihir-sihir masa depan yang cemelang,
gemilang dan terbilang.
Lagipun kerajaan menebatkan kebimbangan itu dengan kelesuan
ekonomi dunia seluruhnya. Konon kelesuan dan kesuraman ini bukan
sahaja di negara kita, tetapi berlaku juga di negara lain.
Untuk memaniskan keadaan dinukilkan apa yang menimpa negara kita
adalah kerana tempias dari apa yang berlaku di negara-negara
besar seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah lain. Apa lagi
untuk rakyat ungkitkan kalau Amerika Syarikat dan Eropah sendiri
menghadapi masalah itu. Kita selalu menjadikan Amerika Syarikat
dan Eropah sebagai kiblat kehidupan.
Bagi golongan pedagang, mereka sangat terasa dengan nasib yang
menimpa ekonomi mereka. Mereka resah dan gelisah apabila ekonomi
yang sedang demam dan tidak kebah-kebah. Golongan ini sangat
bimbang apa lagi mereka sudah menanggung risikonya; perniagaan
tutup, kantong akaun berkurangan, hutang bertambah dan
sebagainya.
Kini mereka sudah mula melontarkan pelbagai kata-kata kesat atau
memaki hamun kerajaan. Mereka mula merasakan diri tidak selamat.
Dan mangsanya ialah Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.
Ada pihak menuding jari dan meletakkan kesalahan ini kepada
polisi dan pendekatan ekonomi Abdullah yang mengurangkan
perbelanjaan, tidak mewujudkan projek baru dan menghentikan
projek mega. Tindakan itu dikenal pasti sebagai antara punca
mengapa ekonomi lembab hari ini.
Pedagang yang emosi dan taksub kepada bekas Pedana Menteri,
Dr.Mahathir Mahmad mula menyalahkan Abdullah sebagai tidak
pandai mentadbir dan melihat Dr. Mahathir adalah pemimpin yang
ideal. Lebih emosi lagi mereka menyifatkan pengunduran Mahathir
diganti dengan Abdullah satu kesilapan!
Keadaan ini menjadi teruk lagi apabila bekas PM Dr. Mahathir
sendiri bersikap mendiamkan diri (tidak bertanggungjawab) dan
seolah membiarkan Abdullah bersendirian dalam menghadapi kemelut
ini. Dalam situasi tertentu beliau menunjukkan ‘body language’
tidak setuju dengan cara Abdullah mentadbir negara.
Tindakan itu tidak wajar dan lontaran perasaan kepada Abdullah
juga tidak kena kerana beliau kini hanya membereskan keja-kerja
yang ditinggalkan oleh beliau (Mahathir). Walaupun sudah mengaku
berundur Dr. Mahathir harus sama bangkit membaiki keadaan dengan
membantu Abdullah.
Itulah yang berlaku dan menjadi sebutan. Kejadian atau
perkembangan itu merupakan arus di permukaan politik kita.
Tetapi apakah arus bawah? Apakah di bawah (dasar) tidak berombak.
Tidak dinamakan laut kalau ia tidak berombak dari atas ke bawah.
Malahan arus di bawah lebih kencang dan kuat lagi bergelombang.
Tsunami yang berlaku baru-baru ini pun bermula dari bawah
kemudian ke atas dan barulah membedal tebingan pantai.
Namun seperti dikatakan tadi, kerana kita kurang peka memerhati
ke bawah menyebabkan arus di bawah tidak terasa dan jauh sekali
untuk mengatakan ia membahayakan kita dan segala kehidupan lain.
Sesekali cubalah kita menyelam ke bawah dan mengenali arus di
dasar sana. Sekurang-kurangnya bila kita merenung ke bawah kita
akan tahu apa yang berlaku selepas ini. Persediaan awal akan
mengurangkan risiko yang bakal kita hadapi.
Sebenarnya di bawah dasar politik, kita ada arus yang sedang
bergerak dan bakal menjadi gelombang. Waktu ini pergerakannya
pada skala yang sangat perlahan dan harmonis, namun hakikatnya
ia sedang menunjuk ke arah yang lebih kencang.
Apakah arus itu? Ianya ialah arus untuk menukarkan teraju
kepimpinan negara yang ada hari ini. Sekurang-kurangnya ada tiga
elemen yang berlaku untuk tujuan itu.
Eleman pertama ialah menukarkan Abdullah dengan seseorang yang
sememangnya wajar untuk berada di situ.
Elemen kedua diganti dengan orang yang ketika ini sedang
bermimpi dan banyak berdoa untuk menggantikan Abullah sesegera
mungkin.
Eleman ketiga ialah diganti dengan mereka yang kecewa dan
irihati dengan kedudukan Abdullah hari ini yang merasakan
dirinya paling layak dan relevan.
Ketiga-tiga elemen itu digerakkan oleh kumpulan yang sama tetapi
mempunyai cita-cita dan naluri yang berbeza. Mereka mempunyai
kepala atau kapten tersendiri dalam menggerakkan agenda
masing-masing.
Untuk elemen pertama ia digerakkan oleh orang penting di dalam
Umno sendiri. Mereka yang tidak yakin dan percayai bahawa orang
yang akan mengambilalih jawatan daripada Abdullah dapat
menyelamatkan dirinya dan juga negara.
Justeru orang ini berusaha untuk membawa tokoh dari luar Umno
yang dikira sesuai dan mampu untuk mengemudikan negara yang
berkebetulan pula mempunyai pengalaman dan hubungan antarabangsa
yang luas.
Sementara elemen kedua digerakkan oleh orang Umno juga. Seorang
yang sudah melepasi batas waktu bertindak menjadi perancang dan
sumber aspirasi. Individu ini mengeluarkan pandangan dan
keluh-kesah mengenai ketidakmampuan Abdullah sebagai Perdana
Menteri.
Orang yang bakal dinaikkan ialah orang yang berada di bawah
Abdullah di mana jika mengikut tradisinya orang itulah memang
berhak berada di situ.
Bagaimana pun kerana si inspirator (individu) itu takut dengan
bayang-bayangnya sendiri dia mahu orang itu dimahkotakan segera
kerana dengan berbuat begitu orang itu dikira akan dapat
melindungi dirinya dari tindakan undang-undang di atas dosa-dosa
yang dilakukannya.
Dia juga terus mahu didewakan sebagai raja yang memiliki sejuta
lagenda keagungan.
Itulah elemen atau arus yang berada di hadapan kita kini yang
bergerk dari bawah. Elemen ini sedang bertarung di antara satu
sama lain. Ia bergerak secara senyap di dasar laut dan masih
belum menguak ke atas.
Elemen mana yang akan berjaya menguasai lautan politik kita
nanti itulah bakal menentukan nasib kita dan negara kita di masa
depan. Sekiranya bakal pengganti Abdullah nanti, mereka yang
bernafsu besar namun tidak tahu mengenai ajaran agama, mesra
dengan kesusahan rakyat tentulah negara akan menjadi lebih buruk.
Tidak boleh tidak, arus yang sedang mula bergerak ini akan terus
bergerak dan akan menjadi kuat tanpa ada apa-apa penghadang. Apa
yang kita harapkan biarlah elemen yang baik tadi akan menang dan
tokoh yang baik menjadi pemimpin kita semua.