Make your own free website on Tripod.com

 

 
   
 
 

Umno peruntuk RM 5 bilion misi tawan Kelantan ?


Dewan Pemuda PAS Pusat mendedahkan ada maklumat menyebut Umno memperuntuk sebanyak RM5 bilion dalam misi menawan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, berdasar kepada maklumat diterima Umno
cuba menggunakan kaedah tersebut kerana sebelum ini mereka merancang menawan Terengganu juga dengan peruntukan wang yang tidak ada hadnya.

“Itu juga kaedah yang mereka akan laksanakan di Kelantan. Ini bermakna Umno cukup bersedia mahu menawan Kelantan berdasarkan kepada kekuatan kewangan yang ada.

“Mereka juga bersedia memaksimumkan peruntukan bagi mencapai misi tersebut. Oleh itu, Pemuda PAS mesti menjadi benteng utama bagi mempertahankan kekuatan di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan Kali ke-46 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Setiausaha Badan Perhubungan, Haji Abdul Manaf Daud dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Zulkapli Yaacob.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, Pemuda mesti menjadi barisan depan bagi mempertahankan Kelantan.

“Dalam gerakan ini Pemuda PAS akan memastikan bahawa Kelantan tetap dalam genggaman kita. Pemuda akan menjadi agen bagi memulihkan kembali kekuatan PAS,” ujarnya.

Pengganti Tok Guru

Ditanya mengenai bakal pengganti bagi memimpin PAS dan kerajaan negeri di Kelantan, beliau berkata, Pemuda berharap tidak menjadi faktur Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai satu-satunya kekuatan PAS.

“Kita tidak mahu kerana tidak ada Tok Guru PAS akan tumbang, Mesti ada ‘collective responsibility’ dengan membincang bersama, kita mampu meraihkan kemenangan yang lebih besar di Kelantan seperti yang dicapai sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Pemuda tidak bimbang dari segi pelapis kerana yakin kepada konsep patah tumbuh hilang berganti, kerana akan ada pelapis bakal mengganti pimpinan PAS yang ada sekarang.

Katanya, sudah menjadi amalan kepada PAS, iaitu parti yang akan memutuskan pengganti kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

“Jadi kita tidak mahu ada anasir-anasir yang lain yang mengganggu gugat kekuatan parti. Pimpinan parti akan menentukan siapa yang bakal mengganti pimpinan di Kelantan.

“Oleh itu Pemuda mesti bekerja lebih kuat, mesti mewujudkan rangkaian kerja yang lebih sistematik, di mana tidak semestinya kita hanya menumpu kepada kawasan yang kita kalah sahaja,” tambahnya.

Beliau berkata, Pemuda perlu memainkan ‘political engagement’ di mana perlu berupaya menjadikan diri kita sebahagian daripada masyarakat. Dan bukannya ‘political disengagement’ iaitu melarikan diri daripada masyarakat.

“Kita mesti turun ke bawah, kita mesti hampiri rakyat, mesti ada gerak kerja yang boleh menawan hati rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” tambahnya.

Ketika ditanya kesan Konvensyen Kemajuan Kelantan yang dianjurkan Umno baru-baru ini, katanya ia tidak akan menggugat peluang PAS untuk terus memerintah negeri ini.

Beliau yakin kekuatan yang ada pada hari ini, malah masih mampu bertahan dan boleh mengembalikan kekuatan di kawasan yang PAS tewas pada pilihan raya umum lalu. Menurutnya, konvensyen itu tidak memberi apa-apa kesan kepada kekuatan PAS.

Beliau juga berpendapat konvensyen itu dianjurkan Dato’ Annuar Musa selepas beliau diberi tanggungjawab menerajui Umno bagi mempamerkan kebolehannya menandingi apa yang pernah dilakukan Dato’ Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun menurutnya, PAS masih ada beberapa lagi isu yang dirasakan boleh berhadapan dengan Annuar di Kelantan.

Mengenai pertandingan bagi merebut jawatan utama dalam Dewan Pemuda PAS katanya, ia tidak akan menggugat kekuatan parti.

“Apa yang saya lihat kalau pertandingan itu boleh dielakkan itu adalah yang terbaik. Tetapi kalau hendak bertanding juga itu pun dibolehkan kerana ia diizinkan oleh perlembagaan parti.

“Jadi we want the best. Setakat ini hanya di Kelantan yang berlaku pertandingan merebut jawatan ketua pemuda. Walau pun ada pencalonan di negeri lain, namun ada yang mengundurkan diri,” katanya. - mj