Padan Muka Kita !

Oleh Aman Rais

Ada satu teka-teki di kalangan orang kampung atau disebut lawak antarabangsa oleh budak-budak sekolah: Apa benda yang sentiasa turun dan sentiasa naik? Jawabnya: Yang sentiasa turun, langsung tidak pernah naik ialah hujan. Bukan sahaja sentiasa turun, malah percuma! Yang sentiasa naik pula ialah kadar tol dan produk petroleum – diesel dan petrol. Dan satu lagi yang dalam proses untuk dinaikkan ialah gaji para menteri dan wakil rakyat!

Tiada hadiah misteri bagi mereka yang berjaya menjawab dengan tepat teka-teki tersebut. Sebaliknya anda pula yang perlu berbelanja lebih sebab harga diesel telah naik lagi 20 sen dan petrol naik 10 sen seliter.

Kos hidup kita kini semakin tinggi kerana tempias daripada kenaikan harga bahan api itu sangat besar. Sana sini di kedai runcit dan pasar, harga barangan keperluan harian sudah naik. Alasannya mudah, bukan kerana kekurangan bekalan tetapi kerana kos pengeluaran dan perkhidmatan meningkat akibat kenaikan harga bahan api.

Kini kuasa membeli rakyat makin kecil kerana kenaikan harga barang tidak diikuti dengan kenaikan pendapatan – gaji tetap di takuk lama kecuali bagi orang-orang politik. Ahli parlimen dan pak menteri-pak menteri akan menikmati kenaikan gaji sekurang-kurangnya 10 peratus – katanya untuk menampung beban perkhidmatan mereka kepada pengundi.

Begitulah nasib kita – golongan makan gaji, petani, penternak, nelayan dan buruh atau lebih tepat para pengguna. Di atas nama pengurangan subsidi, kita menjadi mangsanya!

Kononnya kenaikan harga diesel dan petrol ini untuk mengurangkan subsidi yang ditanggung kerajaan. Khabarnya kerajaan dapat menjimatkan subsidi sebanyak RM2.2 bilion dengan kenaikan terbaru harga bahan api itu.

Penjimatan RM2.2 bilion itu boleh digunkan untuk membiayai projek-projek lain yang memberi manfaat kepada rakyat. Eloklah kalau begitu nawaitunya. Jangan penjimatan itu dihabiskan untuk menampung kenaikan gaji orang politik dan projek-projek yang tidak relevan sudahlah!

Plot kenaikan harga

Nampaknya kenaikan harga bahan api kali ini, kali ketiga bagi diesel dan kedua bagi petrol sejak Oktober tahun lalu dilakukan secara mengejut dan dramatik. Plot kenaikan harga itu dimulakan dengan gembar-gembur kekurangan bekalan diesel di seluruh negara.

Selama dua minggu kita disogok dengan cerita penyangak dan penyeludup diesel, hingga ada yang mencadangkan supaya mereka dikenakan tindakan ISA. Kabinet terpaksa mengadakan mesyuarat khas dan menubuhkan jawatankuasa khusus untuk menangani kekurangan bekalan diesel itu.

Rakyat menyangka kerajaan akan mengenakan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas untuk mengatasi kegiatan menyorok, menyeludup dan penyelewengan jualan diesel. Namun semua sangkaan itu meleset sekali. Tiba-tiba sahaja minggu lalu Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan ringkas mengumumkan kenaikan harga bahan api itu.

Apabila kenaikan harga dibuat, serta merta cerita kekurangan bekalan diesel hilang. Begitu mudah kekurangan bekalan bahan tersebut diatasi? Sungguh pelik!

Bila begini senarionya, orang kampung yang bermesyuarat di kedai kopi mula membuat pelbagai telahan. Pak Abu, Ah Chong dan Muthu membuat kesimpulan sinis. Mereka merasakan seperti ada sandiwara dalam krisis diesel kali ini.

Bagi orang kampung yang tidak berpendidikan tinggi tetapi berpengalaman luas itu, mereka merasakan seperti ada pihak sengaja mengadakan sesuatu bagi menghalalkan matlamat akhir, iaitu untuk menaikkan harga bahan berkenaan.

Atau ada pihak yang mengambil kesempatan di tengah-tengah krisis itu bagi menaikkah harga bahan tersebut!

Apabila harga diesel dan petrol dinaikkan, kerajaan cuba menyejukkan hati rakyat dengan menyatakan harga bahan api di negara ini masih yang terendah di Asia Tenggara. Begitu jugalah apabila kadar tol dinaikkan, kerajaan akan berhujah dengan mengatakan ia adalah kadar terendah di Asia.

Kerajaan pilihan kita

Memang kita suka harga barangan dan kadar tol kita yang terendah di rantau ini. Tetapi pada masa yang sama sedarkah kita bahawa kita adalah negara yang paling banyak mempunyai plaza tol?

Pak menteri-pak menteri kita yang sering ke Bangkok, Jakarta , Manila, Singapura, Bandar Ho Chih Minh dan Brunei tentunya dapat membilang berapa buah plaza tol di pintu masuk bandaraya berkenaan.

Nampaknya kerajaan mahu rakyat memahami beban yang ditanggungnya. Mahu pengguna dan kerajaan berkongsi susah dan senang. Kerajaan mahu rakyat membuang mentaliti subsidi dan bersedia hidup dalam dunia tanpa subsidi. Dan rakyat nampaknya tidak mempunyai lain, kecuali akur dan perlahan-lahan membuang mentaliti subsidi sebagaimana yang dikehendaki kerajaan.

Apo nak di kato, inikan kerajaan pilihan anda sendiri. Anda yang memilih dan mempertahankannya sejak merdeka lagi. Setiap lima tahun kita diberi pilihan dan kita telah memberikan mandat besar kepada kerajaan yang ada sekarang. Maka terpaksalah kita menerima apa sahaja dasar dan keputusan yang dibuat oleh para pemimpin pilihan kita.

Kita tidak berkuasa untuk membantah kerana lebih dua pertiga kerusi di Parlimen dipenuhi penyokong kerajaan. Kita juga tidak boleh memprotes di jalanan, nanti kena sembur air gatal. Silap haribulan masuk lokap!

Akur sahajalah. Sebahagian besar kita tidak pernah serik, tidak mahu belajar dari pengalaman. Oleh itu tiada guna sudah terantuk baru hendak tengadah!

Kini ada peniaga dan orang politik yang semakin kaya dan bahagia. Semua ahli Parlimen akan mendapat kenaikan gaji. Manakala habuan untuk kita pula ialah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Padan muka kita!