Menteri berani hina Islam ?

Oleh Lee Ban Chen

Sejak kebelakangan ini, Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, merangkap Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, rasanya tidak begitu bernasib baik. Tidak berapa lama dahulu, beliau disindir secara tidak langsung oleh timbalannya bahawa ada pemimpin yang bermati-matian tidak mahu melepaskan jawatan pucuk pimpinannya dan berhasrat untuk memupukkan pengaruh anaknya dalam parti. Lantaran itu, Keng Yaik terpaksa membuat pengumuman bahawa beliau akan memimpin Gerakan untuk penggal terakhir, dan anaknya tidak akan menyandang apa-apa jawatan tinggi dalam pemilihan parti yang akan datang.

Kali ini, tersebar pula khabar angin bahawa beliau akan meletak jawatan menteri kerana tersilap cakap. Keng Yaik dilaporkan sebagai berkata, hal-hal mengenai keagamaan harus dipisahkan daripada Sekolah Kebangsaan (SK) bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.

Menurut Perdana Menteri, Keng Yaik “telah menimbulkan berita besar dalam surat khabar”, dan mengakibatkan “bantahan pelbagai pihak yang terkejut, marah dan kesal ”, sehingga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri terpaksa bertanya kepada beliau apa sebenarnya telah berlaku.

Keng Yaik menjelaskan bahawa ucapannya telah disalahfahamkan. Beliau hanya mencadangkan supaya sekolah kebangsaan tidak terlalu menekankan agama seperti yang telah dibincangkan dalam kabinet, dan beliau tidak menyaran supaya Pendidikan Agama diketepikan di sekolah kebangsaan.

Jika disemak ucapan beliau sepertimana yang dilaporkan, saya petek : “Kalau anda ingin berbincang mengenai isu agama, lakukannya di rumah, di kelas agama atau di tempat ibadat”. Rasanya beliau tidak menafikan keperluan Pendidikan Agama “di kelas agama” dalam SK.

Dr Ismail Ibrahim dalam kolumnya yakin Keng Yaik tidak mempersoalkan tentang pengajaran agama di Sekolah Kebangsaan dan niat dan tujuannya adalah ikhlas seperti yang ditegaskannya.

Realiti politik negara

Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Dr Firdaus Abdullah apabila ditemubual oleh akhbar Sin Chew Daily (9 Mei 2005) juga bersetuju dengan Keng Yaik bahawa jika sekolah kebangsaan ingin menarik lebih pelajar bukan Melayu, maka ianya hendaklah memiliki kualiti pendidikan yang unggul, sikap guru yang baik dan tidak terlalu menekankan agama.

Sesiapa yang tidak buta dengan realiti politik negara kita sekarang, tentu setuju bahawa tiada mana-mana menteri dalam Barisan Nasional sekarang yang berani mencadang agar pendidikan agama diketepikan di sekolah kebangsaan, apatah lagi berani menghina Islam, memandangkan Umno dan PAS sedang berlumba untuk membuktikan parti mereka lebih Islam daripada parti lawannya.

Tentang masalah terlalu menekankan agama di sekolah kebangsaan, jika tidak silap, Perdana Menteri Abdullah sendiri pernah membuat ulasan itu secara terbuka. Maka tidaklah hairan jika masalah itu telah dibincangkan dalam kabinet.

Sungguhpun demikian, Keng Yaik yang merupakan seorang menteri yang veteran patut faham, di negara kita, bukan Islam termasuk menteri, dianggap tidak layak menyentuh soal Islam yang merupakan masalah eksklusif umat Islam yang pantang dicampuri bangsa dan agama lain.

Jika tidak, ia terpaksa menghadapi kritikan dan tekanan, seperti yang dihadapi Keng Yaik sekarang. Misalnya, dalam sebuah artikel yang bertajuk: “Bila menteri berani hina Islam, ramailah yang akan kencing berlari”, Roslan SMS telah melontarkan kritikan keras terhadap Keng Yaik.

Kata Roslan SMS dalam artikel tersebut: “ Kita sering memberikan ruang dan kebebasan kepada bangsa dan agama lain untuk mempertikai dan mempersoalkan agama kita secara terbuka dan terang-terangan. Kita sahaja yang kelihatan tunduk dan cuba memahami, menghormati dan menerima mereka. Apakah punca kelonggaran dan tidak keseimbangan ini?”

Cukup jelas, Roslan SMS berpendapat “bangsa dan agama lain” tidak patut diberi ruang dan kebebasan untuk membincangkan masalah agama umat Islam, jika tidak ianya bermakna “tunduk” kepada mereka!

Kebebasan dan toleransi

Menurut logik tersebut, adakah kabinet yang telah membincangkan masalah terlalu menekankan agama di sekolah kebangsaan, juga menunjukkan bahawa orang Melayu/Islam tunduk kepada “bangsa dan agama lain”?

Jika demikian halnya, bagaimana sekolah kebangsaan dapat memainkan peranannya untuk menyatupadukan pelajar pelbagai kaum dan agama seperti yang diwar-warkan?

Tambah artikel tersebut lagi: “Kini apabila seorang bertaraf menteri boleh dengan sombong dan bongkak menghina Islam, kononnya kerana kita mengamalkan kebebasan dan toleransi, maka jangan pula kita hairan, terkejut dan terperanjat apabila ada kumpulan dan individu lain yang akan menyokong kenyataan menteri ini dan turut menghina Islam.”

Sekarang Dr Ismail yakin Keng Yaik tidak mempersoalkan tentang pengajaran agama di sekolah kebangsaan dan niat dan tujuannya adalah ikhlas, manakala Dr Firdaus pula menyokong pendapat Keng Yaik. Jadi, adakah mereka juga “turut menghina Islam”?

Kepada Roslan SMS dan mereka yang sependapat dengannya, nasihat Dr Ismail mungkin berguna: “Kita tidak mahu apabila timbul sahaja isu mengenai agama, maka kita tiba-tiba menjadi gelabah dan gementar, dan adakalanya menjadi seperti anjing yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri.”

Kepada media perdana pula, rasanya nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak patut diteliti: “Saya tahu anda (media) kena melaporkan konflik, itu tanggungjawab anda, tetapi apa yang penting ialah pertamanya bagaimana anda menyiarkan konflik. Keduanya, media perlu fokus bagaimana untuk mencari penyelesaian, bukan membangkitkan sentimen dan perasaan.”

Tunggu kucing bertanduk...

Dalam kes Keng Yaik tersebut, nampaknya kenyataannya yang kurang jelas telah diperbesar-besarkan dan dijadikan “konflik”, dan sesudah sentimen keagamaan dibakar, Keng Yaik pun diherdik sebagai “biadab”dan “tidak layak langsung menjadi warga Malaysia, apa lagi memegang jawatan sepenting menteri kabinet pusat”. Justeru itu, Roslan SMS menarik kesimpulan: “Keng Yaik yang biadap itu perlu letak jawatan!”

Keng Yaik mungkin kurang bijak untuk membincangkan masalah yang dianggap sensitif oleh umat Islam, tetapi beliau atau mana-mana menteri bukan Islam dalam BN pasti tidak berani menghina Islam jika mereka masih tidak bersedia untuk letak jawatan atau masih memberatkan prospek kerjaya politiknya.

Sebaliknya, mana-mana bukan Islam, termasuk menteri, jika dituduh sebagai menghina Islam seperti dalam kes Keng Yaik, terutamanya oleh media Melayu, maka sukar sekali bagi yang tertuduh untuk membela diri atau mempertahankan maruahnya!

Adakah kabinet BN akan mempertahankan menterinya, yang pasti tidak berani menghina Islam, dan mendesak pihak-pihak yang terbabit supaya menarik balik tuduhan yang tidak berasas itu dan meminta maaf kepada Keng Yaik ?

Hal ini akan berlaku apabila kucing bertanduk. Demikianlah kenyataan politik dan hubungan ras dan agama negara kita.